KUALA LUMPUR- Wang sebanyak RM1,200 setahun atau secara purata RM100 sebulan memang tidak memberi apa-apa makna kepada orang kaya.
Bagaimanapun, ia membawa nilai yang sangat besar dan bermanfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 setahun itu boleh digunakan oleh golongan berpendapatan rendah untuk memberi barangan keperluan atau sekurang-kurangnya meringankan beban kewangan mereka.
Malah pemberian tersebut juga tidak menyebabkan rakyat menjadi malas kerana kebanyakan penerima adalah golongan yang mempunyai pekerjaan tetapi masih perlu dibantu kerajaan.
“Kita tidak boleh melihat BR1M daripada perspektif orang kaya atau anak orang kaya kerana mereka tidak rasa manfaatnya menerima RM1,200 setahun itu.
“Ramai penerima BR1M adalah mereka yang bekerja bukan mereka ini tidak bekerja atau tidak berusaha cuma kejayaan belum sampai lagi.
“Mungkin gaji mereka cuma RM2,500 sebulan jadi mereka dapat menerima BR1M tetapi apabila dia meningkatkan karier sehingga memperolehi pendapatan RM5,000 ke atas barulah dia tidak lagi layak menerima BR1M.
“Apabila menerima BR1M bukan bermakna kita suruh mereka berhenti kerja atau berhenti berniaga. Dia salah faham konsep itu. Pembangkang ini kalau betul-betul tidak suka kenapa mereka membangkang BR1M pada 2012, 2013, 2015 tetapi apabila 2017 mereka bersetuju pula dan mahu teruskan BR1M. Ini soal politik sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, Jalan Damai di sini hari ini.
Johari menjawab sindiran ahli perniagaan yang juga anak kedua Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Mokhzani Mahathir yang mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan menjadi penerima BR1M kerana seseorang itu patut berbangga apabila menjadi orang kaya dengan hasil usaha sendiri.
Johari yang merupakan bekas anak setinggan itu menegaskan, penerima BR1M menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan hidup dan bukannya menyimpan di dalam bank.
Ini sekaligus mencipta satu ekosistem ekonomi yang positif kerana memberi limpahan manfaat kepada peniaga, pemborong, pembekal dan pengilang yang akhirnya turut dirasai oleh semua rakyat.
“Mereka dapat lebih kurang RM100 sebulan, bolehlah beli minyak, beli beras atau kalau sudah ada semua itu, mereka boleh bayar bil dan sebagainya.
“Sebab itu kita tidak bagi orang kaya,” kata Johari.
Malah Menteri Kewangan Kedua meminta penerima yang merasakan tidak layak untuk mendapat BR1M menyedekahkan sumbangan tersebut kepada badan kebajikan atau golongan yang lebih memerlukannya.
Semalam, Mokhzani dalam satu ceramah di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah memperlekehkan penerima BR1M bahawa mereka terpaksa menerima bantuan tersebut kerana tidak mampu mencari makan sendiri.
“Kita boleh berbangga rasa seperti seorang juara apabila kaya. Kita akan rasa hebat dengan wang titik peluh sendiri. Itu yang penting.
“Bukan terima wang daripada orang lain untuk hidup. Itu bukan hebat,” kata Mokhzani seperi dilaporkan. – MalaysiaGazette
Baca Selanjutnya
Mokhzani, jangan hina golongan kurang mampu terima BR1M