Home Sukan Saya tak atur perlawanan – Zulfadli

Saya tak atur perlawanan – Zulfadli

Zulfadli berkata bukti perbualan Whatsapp yang didedahkan itu telah disalah tafsir sedangkan beliau bersama Tan Chun Seang hanya banyak berbincang mengenai soal penajaan.
Zulfadli berkata bukti perbualan Whatsapp yang didedahkan itu telah disalah tafsir sedangkan beliau bersama Tan Chun Seang hanya banyak berbincang mengenai soal penajaan.

KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama mengunci mulut, bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli akhirnya tampil mendedahkan cerita sebenar di sebalik tuduhan mengatur perlawanan bersama seorang lagi pemain badminton profesional negara, Tan Chun Seang .

Menerusi satu sidang media yang diadakan di One World Hotel di sini hari ini, Zulfadli berkata, BWF menjadikannya mangsa penindasan dalam hal itu dan mencemarkan nama baiknya hanya kerana beliau tidak begitu fasih berbahasa Inggeris.

“Saya tidak nafikan saya tidak begitu pandai kerana saya lebih banyak luangkan masa bermain badminton bersama ayah, jadi pemahaman bahasa Inggeris saya tidak begitu baik.

“Jadi, apabila mendapat surat daripada BWF mengatakan mahu menemuduga saya, saya telah meminta agar ayah saya dibenarkan ikut kerana dia lebih fasih berbahasa Inggeris. Namun, permohonan saya itu ditolak dan saya dipaksa ditemuduga dalam bahasa Inggeris oleh Paul Scotney bersama seorang penterjemah.

“Saya tidak begitu faham loghat yang digunakan Scotney (bekas Inspektor dari Scotland) dan adakalanya Scotney tidak membenarkan soalannya diterjemah ke Bahasa Melayu. Secara ringkas saya tidak tahu apa yang berlaku dan saya hanya angguk kepala saya sahaja untuk hampir semua benda.

“Saya kesal kerana ayah tidak berada bersama saya di bilik tersebut kerana saya sangka hanya temuduga biasa sedangkan mereka sedang menyiasat saya.

“Jika ayah ada, pastinya dia akan memahami apa yang disoalkan oleh Scotney pada waktu itu.

“Selain itu, Scotney juga telah mengambil telefon saya secara paksa dan menggunakan satu gajet untuk mengeluarkan semua perbualan Whatsapp saya pada tahun 2013.

“Dengan hanya beberapa ayat yang beliau baca, beliau terus membuat tuduhan kepada saya,” katanya lagi seperti yang dilaporkan Sinar Online.

Jelas Zulfadli, selepas telefonnya dirampas dan perbualan Whatsapp dikeluarkan oleh wakil BWF tersebut, semua fail dan data di dalam telefon itu sudah hilang sepenuhnya dan tidak dapat mengemukakannya sebagai bukti.

Beliau merasakan dirinya teraniaya kerana banyak persoalan seperti perlawanan mana yang disabitkan kesalahan kepada beliau, selain ada beberapa perkara lain yang agak meragukan tidak dapat dirungkaikan daripada pertuduhan itu.

Justeru, beliau merayu kepada pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu dan melindunginya daripada penindasan BWF.

“Saya hanya tahu bermain badminton sahaja dan kini saya tidak boleh berbuat apa-apa. Hukuman ini menghalang saya daripada meneruskan kehidupan dan bagi saya hukuman ini lebih berat daripada dipenjara dan hukuman gantung kerana ianya fitnah terhadap saya.

“Saya dan keluarga mungkin terpaksa hidup dengan malu walaupun saya tidak bersalah kerana jika saya mahu membuat rayuan, saya terpaksa membayar denda sebanyak RM100,000. Saya tidak mampu,” katanya lagi dalam nada sebak.

Zulfadli menambah, beliau teraniaya kerana bukti perbualan Whatsapp yang didedahkan itu telah disalah tafsir sedangkan beliau bersama Tan Chun Seang hanya banyak berbincang mengenai soal penajaan.

“Kebanyakan perbincangan saya dan Chun Seang lebih kepada soal sponsorship untuk menyertai kejohanan luar negara.

“Ini kerana ada masanya wang penajaan kami sedikit lewat masuk, jadi saya meminjam wang daripadanya terlebih dahulu untuk menyertai kejohanan luar negara memandangkan kami di bawah penaja yang sama.

“Selain sponsorship, kami juga ada berbual mengenai casino yang mana kadang-kadang saya ada meminta Chun Seang untuk tolong saya ‘betting’ di casino,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai casino tersebut, Zulfadli berkata aktiti itu hanyalah sekadar suka-suka jika terdapat masa lapang sebelum perlawanan di luar negara.

“Bukan hanya saya, tapi ramai juga pemain badminton yang lain ada bermain di casino. Kami bermain bukan sebagai ‘gambler’ tapi hanya mencuba nasib.

“Ini hanya berlaku jika ada perlawanan yang belum dimulakan lagi dan kami pergi ke casino yang ‘legal’ sahaja. Tapi perlu saya jelaskan, saya bukan kaki judi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette