Home Ekonomi MARA Kelantan dapat RM34j bantu usahawan

MARA Kelantan dapat RM34j bantu usahawan

KOTA BHARU – Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan diperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk membantu usahawan yang dianggarkan seramai 2,278 orang di negeri ini, pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM32 juta diagihkan dalam bentuk bantuan pinjaman kewangan yang dijangka akan dapat dimanfaatkan oleh 360 orang usahawan.

“Baki sebanyak RM2 juta lagi adalah dalam bentuk latihan kepada usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Usahawan Mara Kelantan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, antara aspek yang diberi penekanan dalam program pembangunan usahawan tersebut adalah pembangunan produk, penjenamaan dan pembangunan standard.

“Ini merupakan elemen yang penting untuk usahawan beri penekanan supaya mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan peringkat nasional dan global,” katanya.

Beliau mahu usahawan bersama Mara meneroka bidang baharu seperti aeroangkasa, marin dan tenaga boleh diperbaharui, untuk melahirkan usahawan berasaskan teknologi terkini.

Turut hadir bersama lebih 500 usahawan Kelantan ialah Pengarah Mara Kelantan, Ismail Abdullah dan Pengerusi Persatuan Usahawan Mara Kelantan, Mohd Nazir Daut.