JERLUN – Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara tidak langsung mengakui masih menyimpan dendam disingkir daripada jawatan Menteri Besar (MB) Kedah apabila mengungkit cerita lama mengenai kisah-kisah pemecatannya pada awal 2016.
Mukhriz mengungkit tindakan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam ceramahnya di Padang Sera malam tadi apabila wakil-wakil rakyat Barisan Nasional Kedah mengadakan sidang media mengumumkan tidak lagi menyokong pentadbirannya ketika masih menjadi Menteri Besar ketika itu.
“Dia (Bashah) adakan sidang media buat kenyataan bukan-bukan, untuk apa? Bukan sahaja nak jatuhkan saya, tapi Bashah sendiri ketuai sidang media itu.
“Dia berhasrat nak jadi MB sebab itu selepas itu siapa jadi MB kalau bukan Bashah,” kata beliau.
Mukhriz mahu pengundi di Kedah menebus maruah selepas penyingkirannya itu dengan menyokong Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum kali ini supaya dapat memberinya laluan untuk menjadi MB semula.
“Dan pilihan raya umum ini masa untuk menuntut maruah kita balik dengan mengundi Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Menurut Mukhriz, rasa hormatnya hilang kepada Bashah susulan insiden tersebut dan menyebabkan beliau menjadi seorang yang tegas dan melawan tindakan mereka yang bertanggungjawab merancang kejatuhannya di Kedah.
“Yang kita jadi tegas ini pasal apa, pasal mereka mula dahulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette