KUALA LUMPUR – Gabungan pakatan pembangkang yang mengadakan program di Kampung Bakar Batu di Johor Bahru tidak disenangi oleh penduduk di kawasan itu.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sesawang Youtube, satu sidang media oleh beberapa calon gabungan itu yang menggunakan lambang PKR diganggu oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Berdasarkan percakapan pada rakaman tersebut, penduduk di situ tidak suka calon-calon pembangkang itu berada di kawasan mereka lebih-lebih lagi apabila mereka membuat tuduhan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Melalui pemerhatian pada video itu, kemarahan bermula apabila seorang lelaki warga emas dipercayai penduduk tempatan menyanggah kenyataan yang diberi oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada sidang media itu.
Mereka mahu agar sidang media itu dihentikan dan seterusnya menggesa mereka (calon) beredar dari kawasan tersebut.
Selain Osman, turut kelihatan pada video berkenaan, veteran DAP yang juga calon bagi kerusi Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan calon PKR bagi kerusi Patrlimen Johor Bahru, Akmal Nasruldin Mohd Nasir.
Tindakan tersebut diambil oleh penduduk ekoran mendakwa calon-calon berkenaan bukannya penduduk di Bakar Batu, malah mereka tidak wajar berkempen di situ.
Pada akhir rakaman itu, penduduk memberikan peluang selama satu minit kepada Kit Siang untuk bercakap sesuatu kepada beberapa wakil media yang berada di situ.
Tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku selepas ketiga-tiga calon akur untuk beredar dari kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tidak diketahui bila kejadian itu berlaku. – MalaysiaGazette