KUALA LUMPUR – Trend sokongan pengundi-pengundi tegar DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini diramal mengalami perubahan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, perubahan itu disebabkan penggunaan logo Parti Keadilan Nasional (PKR) oleh DAP dalam PRU kali ini yang dijangka mengelirukan penyokong-penyokong parti tersebut.
Beliau yang merupakan antara pemimpin DAP yang menolak penggunaan logo PKR berkata, logo roket dan DAP sudah sinonim sejak 52 tahun lalu, lantaran itu mana mungkin ia dapat diterima bulat-bulat oleh penyokong parti.
Katanya, sedangkan kepimpinan DAP pun ‘bergolak’ disebabkan penggunaan satu logo – PKR- apatah lagi dalam kalangan penyokong kuat parti.
“Mana boleh pandang remeh isu logo kerana ia melambangkan maruah dan prinsip, inikan pula dalam satu pergerakan politik.
“Pada saya prinsip dan maruah mana boleh ditukar-tukar.
“Logo roket itu memainkan peranan penting sejak 52 tahun lalu, jadi apabila ditukar kepada logo ‘mata lebam’, sudah pasti ada penyokong yang marah, tidak puas hati dan keliru. Tengoklah nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mengulas mengenai kempen-kempen DAP, Seng Giaw kecewa kerana parti itu masih menggunakan isu agama dan perkauman yang sepatutnya dielakkan demi memelihara keharmonian kaum.
Tegasnya, sepatutnya isi-isu sensitif ini perlu dipelihara kerana ia boleh memporak-perandakan.
“Walaupun dulu pada tahun 1969 lagi teruk, sepatutnya ia dijadikan iktibar, jadi patut dielakkan,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan pembangkang yang mempergunakan Dr Mahathir dalam kempen-kempen, secara sinis Seng Giaw berkata, parti tersebut menggunakan bekas perdana menteri iti kerana percaya beliau boleh membuat perubahan kepada pengundi.
“Dr. Mahathir pula suka ditonjolkan, maka berlaku situasi seperti sekarang ini. Sama ada calon DAP yang bertanding tenggelam atau tidak, kita tengoklah hasil PRU nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette