Home Dunia Mana perginya Sheikha Latifa?

Mana perginya Sheikha Latifa?

Sheikha Latifa

DUBAI – Kebimbangan meningkat tentang kehilangan misteri seorang puteri Dubai selepas beliau cuba melarikan diri daripada keluarganya.

Human Rights Watch (HRW) telah mendesak pihak berkuasa di Emiriyah Arab Bersatu untuk mendedahkan di mana Sheikha Latifa binti Mohammed bin Rashid Al Maktoum kini berada.

Sheikha Latifa, 32, adalah anak pemerintah Dubai.

Beliau sebelum ini mendakwa keluarganya telah mengurung dan menyiksanya, mendorong Sheikha Latifa melarikan diri dengan bantuan bekas pengintip Perancis, Hervé Jaubert dan rakan, Tiina Johanna Jauhiainen, yang berasal dari Finland.

Sheikha Latifa cuba melarikan diri dengan bantuan bekas pengintip Perancis, Hervé Jaubert dan rakan lamanya, Tiina Johanna Jauhiainen, yang berasal dari Finland.

Kedua-dua wanita itu kemudian memasuki Oman dan menaiki bot kecil untuk berjumpa dengan Jaubert di atas botnya.

Nostromo berlayar ke pantai India tetapi dipintas oleh tiga kapal perang India dan dua buah kapal perang Emiriah Arab Bersatu pada 4 Mac lalu.

Jaubert mendakwa dia dan anak buahnya dipukul oleh komando.

Jauhiainen mendakwa dia dan Sheikha Latifa berada di dek bawah semasa mendengar jeritan dan bunyi senjata api. Mereka mengunci diri di dalam bilik air tetapi kabin diselubungi gas.

Apabila pergi ke dek, wanita itu memberitahu, dia nampak muka Jaubert dipenuhi dengan darah dan ‘tidak dikenali’.

Kerajaan Dubai dan pegawai Emiriah tidak memberi maklum balas.

Jauhiainen pada sidang akhbar di London bulan lalu berkata, Sheikha Latifa kerap mengulangi untuk mendapatkan suaka politik.

Malah, wanita itu mendakwa, dia terdengar seseoang bercakap dalam bahasa Arab semasa di atas bot dan Sheikha Latifa menjerit sambil berkata: “Tembak saya di sini, jangan bawa saya balik ke UAE”.

Dalam kenyataannya, HRW mahu pihak berkuasa Dubai memaklumkan di mana Sheikha Latifa.

“Kegagalan mendedahkan kedudukan dan status puteri itu boleh diklasifikasikan sebagai ‘kehilangan paksaan, berdasarkan bukti kali terakhir dia dilihat bersama pihak berkuasa UAE yang menahannya,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette