JOHOR BAHRU – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak untuk meletakkan jawatan serta merta kerana didakwa tidak mempunyai integriti untuk memimpin parti itu.
Gesaan itu dibuat PPBM Bahagian Pasir Gudang yang turut mendesak Setiausaha Agung PPBM merangkap Pengerusi PPBM negeri, Datuk Osman Sapian turut meletakkan jawatan.
Setiausaha Kerja PPBM Bahagian Pasir Gudang, Norzri Mokhtar berkata, desakan itu dibuat antara lain kerana ramai ahli parti mempersoalkan pemilihan calon luar bertanding di sesebuah bahagian dan bukannya memilih ketua bahagian yang terlibat.
“Kenapa mereka (ketua bahagian) yang telah menggerakkan jentera parti sejak awal penubuhan tidak dicalonkan sebaliknya pemilihan oleh Tan Sri (Muhyiddin) dibuat demi kawan-kawanya,” katanya pada sidang media yang dihadiri kira-kira 30 ahli bahagian itu di sini hari ini.
Norzri memberitahu, mengikut senarai calon, seramai 19 ketua bahagian PPBM di negeri ini tidak tercalon termasuk Ketua Bahagian PPBM Pasir Gudang, Dr. Hashim Yusoff.
Atas sebab itu, beliau dan rakan-rakan hilang kepercayaan kepada kempimpinan tertinggi parti dan mahu mereka meletakkan jawatan serta-merta kerana perjuangan yang sudah tiada integriti. – MalaysiaGazette.