KUALA LUMPUR -Polis telah mengambil keterangan daripada empat orang saksi sebagai membantu siasatan mengenai dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad pesawatnya disabotaj menjelang hari penamaan calon PRU-14 pada 28 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bagaimanapun tidak mendedahkan identiti keempat-empat saksi berkenaan.
“Kita telah membuka 26 kertas siasatan berkaitan salah laku kempen PRU-14 dibuka dan disiasat polis.
“Salah satunya ialah kes Mahathir yang sedang disiasat Seksyen 41 dibawah Akta Antiberita Tidak Benar itu.
“Setakat ini tidak ada sebarang tangkapan polis dalam kes ini cuma empat saksi sahaja dipanggil dan diambil keterangan,” katanya dalam sidang media pelancaran Ops Ledak bersempena PRU-14 Rabu ini di Pusat Membeli Belah MyTown Cheras petang tadi.
Sebelum itu, bekas perdana menteri itu mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaikinya sehari sebelum hari penamaan calon PRU-14 pada untuk ke Langkawi telah disabotaj.
Walaupun Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat pengeluar pesawat itu tampil dengan kenyataan menolak wujud sebarang sabotaj namun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu terus berdegil untuk menerima kenyataan itu dan tetap mempertahankan kenyataannya.
Rentetan itu polis telah membuka kertas siasatan ke atas Mahathir yang juga calon PH bagi Parlimen Langkawi itu mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM500,000.
Menyentuh mengenai Ops Ledak PRU-14, katanya polis telah mengerakkan sersmai 152 anggota keselamatan polis dan tentera di 22lokasi panas di ibu negara 24 jam sehari secara berganti ganti.
Beliau juga menasihat semua parti bertanding serta para penyokongnya supaya mengikut lunas undang undang yang ditetapkan.- MalaysiaGazette