Home Politik Saya tak gerun pun kalau kena pecat, kata Rais

Saya tak gerun pun kalau kena pecat, kata Rais

Tan Sri Rais Yatim
Tan Sri Rais Yatim

KUALA LUMPUR – “Saya pernah dipecat dulu jadi tidak ada masalah bagi saya. Ingat saya gerun benar isu dipecat ini, tidak ada apa bagi saya. Saya takut dipecat tuhan.”

Itu jawab bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim berhubung dakwaan beliau kini disiasat Lembaga Disiplin UMNO dan mungkin dipecat oleh parti itu tidak lama lagi.

Rais memberitahu beliau pernah dipecat oleh parti semasa pemerintahan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya pernah dipecat dulu jadi tidak ada masalah bagi saya. Ingat saya gerun benar isu dipecat ini, tidak ada apa bagi saya. Saya takut dipecat tuhan,” katanya kepada media selepas melancarkan buku “History for Nation Building” di Bangsar Village di sini petang tadi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Rais masih disiasat dan penyerahan surat berhubung pengguguran beliau telah dikeluarkan kerana terlibat dalam mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Ditanya samada beliau akan menyertai bekas menteri seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin yang kini sepentas dengan pembangkang, Rais tidak menolak kemungkinan itu akan berlaku.

“Mungkin (akan sepentas) apa pulak tidak boleh? Saya dulu bekas pemimpin nombor dua parti Semangat 46, kalau saya fikir satu perkara itu penting, saya harus bersuara.

“Hak bersuara dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan, fasal 9 dan 10. Banyak ceramah, bukan satu sahaja malam ini oleh pembangkang, saya akan tengok mana yang menarik dan saya akan pergi,” katanya yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dalam pada itu, Rais juga telah menghubungi sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan menasihatkan agar UMNO diperbetulkan dari segi pentadbiran.

“Saya sudah berhubung dengan presiden parti (Najib) untuk menyatakan supaya eloklah UMNO memperbaiki sistem pentadbirannya agar tidak diketawakan orang, terutamanya berkaitan asas-asas dan keperluan perundangan.

“Sekarang ini UMNO dilihat agak cuai dalam memegang prinsip peruntukan perlembagaannya. Tuntutan Fasal 3 perlembagaannya tidak banyak yang diketahui.

“Selain daripada itu tindakan disiplin yang diambil keatas seseorang individu juga sangat kabur. Ini tidak boleh dilakukan,” katanya.- MalaysiaGazette