Home Nasional Wartawan buat aduan palsu ada rekod 15 aduan sama

Wartawan buat aduan palsu ada rekod 15 aduan sama

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat seorang wartawan yang disyaki membuat laporan palsu mengenai dirinya disamun pada 2 Mei lalu di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Dalam laporan polis, wartawan lelaki yang bertugas di sebuah agensi akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu mendakwa dia disamun ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Perusahaan Perai berdekatan dengan Kilang Anjoo.

Motosikalnya didakwa ditendang oleh dua suspek yang juga menunggang motosikal dari arah belakang hingga beliau terjatuh.

Suspek dikatakan telah melarikan beg sandangnya yang mengandungi komputer riba dan peralatan kamera.

Polis yang menjalankan siasatan mendapati motosikal wartawan itu dalam keadaan baik dan mangsa tidak mengalami kecederaan.

Siasatan polis melalui litar kamera tertutup (CCTV) di tempat kerja pengadu di NST Perai mendapai pengadu keluar pada pukul 8.30 malam dengan menunggang motosikal tanpa beg, menurut jurucakap polis Pulau Pinang.

Pemeriksaan CCTV di Kilang Anjoo juga mendapati tiada kejadian samun antara pukul 8.30 hingga 9 malam pada tarikh tersebut.

Hasil siasatan polis terhadap mangsa mendapati pengadu sebelum ini pernah membuat sebanyak 15 aduan, yang mana  lima daripadanya hampir sama dengan laporan yang dibuat pada 2 Mei lalu.

Menurutnya, wartawan itu kemudian disoal siasat dan akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

Wartawan itu memberi alasan berbuat demikian kerana tidak mahu membuat liputan Pilihan Raya Umum di Pulau Pinang, selain mempunyai pinjaman dengan tujuh ah long di Kuala Lumpur dan perlu membayarnya.

Lelaki itu juga mengaku terlibat dalam judi dan mengalami kerugian wang.

Dia juga mengaku sering mendapat simpati dan bantuan kewangan setiap kali membuat laporan polis tentang kehilangan barang.

Jurucakap polis tersebut menambah, wartawan itu telah menunjukkan tempat simpanan barang-barang yang dilaporkan hilang itu.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette