Home Ekonomi Pusat Airpark bernilai RM5.9 bilion di Bagan Datuk

Pusat Airpark bernilai RM5.9 bilion di Bagan Datuk

Naib Presiden Airport Kenesis Canada (AKC), Shad Serroune memberikan penerangan tentang projek AMAC di Bagan Datuk,Perak pada sidang media pengumuman pembinaan Awan Mega Airpark Centre (AMAC) di Wow KL Theatre Restaurant, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 MEI 2018.
Naib Presiden Airport Kenesis Canada (AKC), Shad Serroune memberikan penerangan tentang projek AMAC di Bagan Datuk,Perak pada sidang media pengumuman pembinaan Awan Mega Airpark Centre (AMAC) di Wow KL Theatre Restaurant, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Daerah Bagan Datuk di Perak terus mendapat limpahan ekonomi apabila Pusat Airpark Awan Mega (AMAC) akan dibina sebagai hab aeronautika antarabangsa.

Berperanan sebagai kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), AMAC bakal dibangunkan oleh Airport Kinesis Consulting (AKC) dari Kanada bersama syarikat tempatan, Awan Mega Sdn. Bhd. (AMSB).

Naib Presiden AKC, Shad Serroune berkata, kedua-pihak telah melabur sebanyak RM5.9 bilion bagi projek yang dijangka siap sepenuhnya selama empat tahun.

Beliau berkata, AMAC akan melibatkan pembangunan dua fasa dengan fasa pertama selama tiga tahun.

“Fasa pertama akan merangkumi lesen operasi dan pembinaan lima landasan. Fasa kedua pula adalah hangar dan pembangunan airpark.

“Apabila siap nanti, AMAC mampu memuatkan 197 pesawat di parkir dan 77 pesawat sedang diselenggara pada waktu sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pengumuman AMAC di Wow KL di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan, Awan Mega, Irwan Mohammad.

Pengarah Awan Mega Sdn Bhd, Kapten Norsham Hashim (tengah) bersama Naib Presiden Airport Kenesis Canada (AKC), Shad Serroune (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Awan Mega Sdn Bhd, Irwan Mohammad (kanan) menunjukkan pelan projek AMAC pada sidang media pengumuman pembinaan Awan Mega Airpark Centre (AMAC) di Wow KL Theatre Restaurant, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 MEI 2018.

Dalam pada itu, Shad berkata, Bagan Datuk dipilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan Sepang dan KLIA.

Jelasnya, sebuah MRO baharu perlu diasingkan kerana tidak praktikal beroprasi di lapangan terbangan antarabangsa yang sibuk.

“AMAC akan dapat merevitalisasi industri penerbangan Malaysia melalui Bagan Datuk dan menjana salah satu perkhidmatan terbaik untuk syarikat penerbangan dan pengendali MRO.

“Selain, pusat ini akan menawarkan sebanyak 34,000 peluang pekerjaan pada masa akan datang dan mampu menarik syarikat penerbangan dari Timur Tengah, Eropah, India dan Asia Pasiguk ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette