Home Nasional Rebut peluang industri pelancongan Langkawi

Rebut peluang industri pelancongan Langkawi

Calon Barisan Nasional (BN) N.02 Kuah, Nor Saidi Nanyan beramah mesra bersama warga emas ketika melawat pesakit sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hospital, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 07 MEI 2018.

LANGKAWI – Jangan pandang belakang sebaliknya pandang masa depan terutama dalam tempoh lima tahun akan datang di mana ramai penduduk Langkawi boleh menjadi pengusaha industri pelancongan.

Itu peringatan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan ketika pengundi hanya mempunyai masa berbaki tidak sampai dua hari untuk membuat keputusan pada PRU-14 ini.

Beliau berkata, BN yang selama ini terbukti membela dan membantu rakyat telah menawarkan sebanyak 18 inisiatif berasaskan ekonomi rakyat dengan pembabitan masyarakat tempatan secara langsung.

“Ini penting bagi memastikan Langkawi terus maju tetapi kemajuan Langkawi dibawa bersama orang Langkawi.

“Jadi, ini cabaran kepada Langkawi. Kita mahu rakyat tempatan terlibat secara langsung sebagai pengusaha industri pelancongan.

“Bukan setakat pekerja dan pembantu tetapi kita adalah pengusaha. Ini tawaran cukup menarik yang BN tawarkan,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sehubungan itu, Nor Saidin berharap penduduk tempat dapat merebut peluang itu dan untuk itu, kerajaan sedia ada perlu dikekalkan supaya tawaran itu dapat direalisasikan.

Pada saingan PRU-14, Nor Saidin yang mempertahankan kerusi DUN Kuah dan bakal berdepan saingan empat penjuru.

Beliau bakal ditentang Mohd. Firdaus Ahmad (Pakatan Harapan), Mazlan Ahmad (Pas) dan calon Bebas, Mohamad Ratu Mansor.

Pada PRU-13, beliau menewaskan Ahmad Kassim (PKR) dan Zaflee Pakwanteh (Bebas) dengan majoriti 6,371 undi. – MalaysiaGazette