KEMBOJA – Sekurang-kurangnya 13 penduduk kampung meninggal dunia dan lebih 200 orang lagi dimasukkan ke hospital selepas disyaki minum air yang dicemari dari terusan di wilayah Kratie.
Sehingga hari ini, seramai 280 orang termasuk 162 wanita dan 69 kanak-kanak menjadi mangsa dan sejumlah 234 dimasukkan ke hospital sejak kematian pertama pada hari Khamis lalu, kata Pen Lynat, Timbalan Gabenor Kratie.
Dari 13 kematian itu, lapan adalah wanita dan kebanyakannya sudah tua.
“Kami terkejut dengan kejadian ini,” kata Lynat.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung supaya menjaga kebersihan dan tidak menggunakan air dari terusan dan sungai di kawasan berkenaan.
Lynat berkata, pihaknya juga mengedarkan air kepada penduduk untuk minum dan kegunaan harian.
Tambahnya, pihak berkuasa telah mengambil sampel air untuk kajian.
Kementerian Kesihatan menolak dakwaan minuman wain yang diambil oleh mangsa-mangsa menjadi punca kematian kerana ada beberapa mereka tidak mengambilnya.
Tetapi ujian awal sampel air menunjukkan tahap tinggi metanol, yang boleh menjadi sangat toksik, manakala sampel air dari terusan Prek Te mempunyai paras kromium dan nitrat yang lebih tinggi daripada biasa. – MalaysiaGazette