Home Politik Isu ‘kepala lembu’ tak relevan, kata Azhari

Isu ‘kepala lembu’ tak relevan, kata Azhari

Calon Barisan Nasional P.108 Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (tengah) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Majlis Makan Malam Bersama Ngo Dun Batu Tiga sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Restoran Zam Zam, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 07 MEI 2018.

SHAH ALAM – Masyarakat India tidak pernah ‘tolak’ saya, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Malah beliau bersyukur penerimaan kaum itu memberikan petanda positif kepadanya sebagai pesaing penyandang kerusi itu Khalid Samad daripada Parti Amanah Negara (PAN) dan Mohd Zuhdi Marsuki (Pas).

“Tidak ada penolakan kaum India. Alhamdulilah mereka menyambut baik saya, mereka melihat apa yang saya buat itu perkiraannya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik Jumaeah Masdi di sini malam tadi.

Azhari mengulas cubaan pakatan pembangkang membangkitkan isu protes kontroversi kepala lembu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang berlaku hampir 10 tahun lalu.

Demonstrasi itu adalah sebagai bantahan terhadap penempatan semula kuil Sri Maha Mariamman yang berusia 150 tahun ke sebuah kawasan majoriti penduduk Islam di Shah Alam.

Azhari dalam pada itu menegaskan, kehadirannya bukan sebagai peserta sebaliknya hanya kebetulan berada di kawasan sekitar justeru isu yang dibawa oleh pembangkang untuk menanam kebencian kaum India terhadapnya disifatkannya sebagai tidak relevan lagi.

“Lembu cerita lama tidak relevan lagi bahkan saya terbukti tidak bersalah saya hanya berada di situ kebetulan selepas solat Jumaat, saya tidak buat apa-apa,” tambah Azhari. -MalaysiaGazette