PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta orang ramai khususnya pengundi tidak terpedaya dengan mesej palsu yang ditular menjelang hari mengundi esok.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya mendapati terdapat usaha pihak pihak tidak bertanggungjawab cuba mengelirukan pengundi dengan menyebarkan pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar dalam laman media sosial.
“Mesej palsu yang diviralkan antaranya seperti berlaku pengiraan terhadap undi awal di beberapa bahagian pilihan raya, kertas undi pos disapu lilin, kaedah penandaan kertas undi, tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan dan terdapat titik hitam pada kertas undi.
“Berhubung mesej tular yang mendakwa kononnya telah berlaku proses pengiraan undi awal di beberapa bahagian parlimen, SPR menegaskan bahawa ia tidak pernah berlaku.
“Semua kertas-kertas undi awal masih disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kertas-kertas undi awal itu hanya akan dikira pada 9 Mei 2018 bermula jam 4 petang.
Justeru katanya, semua proses pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan dibuat dengan disaksikan oleh semua pihak berkepentingan dengan kehadiran calon-calon dan ejen-ejen calon.
Selain itu, tegas beliau, dakwaan kononnya kertas undi pos telah disapu lilin di petak calon tertentu bagi menyukarkan pengundi menanda pangkah di petak tersebut juga palsu.
“Malah sehingga kini tiada sebarang aduan diterima berkaitan dakwaan itu. SPR juga menjelaskan bahawa sebarang kertas undi yang dicetak akan disemak terlebih dahulu dengan teliti pada setiap helaian bagi memastikan tiada sebarang kekotoran seperti tanda titik hitam (black dot).
“Selain daripada itu, mengenai kekeliruan kaedah penandaan betul atau salah, SPR menegaskan bahawa kaedah penandaan yang betul dan digalakkan adalah dengan cara membuat tanda pangkah di dalam salah satu petak mana-mana calon yang dipilih serta tidak melangkau ke petak calon-calon lain.
“Sekiranya terdapat keraguan, ia akan diputuskan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) sama ada diterima atau ditolak dalam kehadiran Ejen-Ejen mengira undi bagi calon yang bertanding,’ tegas beliau.
Mohd Hashim menjelaskan, SPR tidak pernah mengeluarkan sebaran makluman tentang pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut jarak perbatuan bagi mereka yang balik mengundi.
“Ini berikutan terdapat mesej tular yang kononnya pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan di Pejabat Daerah dengan membawa kad pengenalan dan jumlah dibayar akan mengikut jarak perjalanan iaitu antara RM10 hingga RM1,000.
“Sehubungan itu orang ramai diminta tidak terpengaruh dan serta turut menyebarkan mesej-mesej palsu tersebut melalui perkongsian di media sosial kerana ianya boleh menimbulkan kegemparan dan kekeliruan di kalangan pengundi menjelang hari mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette