Home Utama Menang majoriti mudah di tangan BN – Sivamurugan

Menang majoriti mudah di tangan BN – Sivamurugan

BN boleh kekalkan 125 kerusi luar bandar dengan menang mudah
Prof Dr. Sivamurugan Pandian

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tiada halangan mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan semula pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini berdasarkan pelbagai kajian setakat ini.

Bagaimanapun, jentera BN perlu bekerja lebih keras di lima negeri yang dijangka menguji kekuatan pemerintah yang sudah menjangkau 60 tahun itu.

Penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian mengakui PRU kali ini merupakan antara paling mencabar untuk BN.

Meskipun begitu, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN telah membuat perancangan teliti dan terbaik untuk parti berkenaan memenangi PRU.

“Barangkali saya melihat di peringkat Pusat tidak ada halangan untuk BN memperolehi majoriti mudah kecuali di beberapa buah negeri BN akan berdepan saingan sengit khususnya di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Beberapa faktor telah mempengaruhi kedudukan BN di keempat-empat negeri itu, antaranya kedudukan demografi dan geografi penduduk; kedua sentimen politik kebencian yang dimainkan di beberapa negeri yang boleh mendapatkan simpati kepada calon.

“Ketiga mungkin kita boleh melihat pertembungan yang berlaku ketika ini melahirkan kedudukan sentimen ke atas calon jauh lebih besar berbanding identiti sesebuah parti itu,” ujar beliau.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan boleh berlakunya undi protes sekiranya jentera parti tak berhati hati dalam meyakinkan pengundi tegar mereka di kawasan -kawasan panas Parlimen dan juga negeri.

Ditanya mengenai peluang UMNO, Sivamurugan berkata, UMNO akan memperlihatkan menang kerusi baharu dan kalah kerusi lama misalnya di Lembah Pantai yang berpeluang untuk menang semula, manakala risiko menanti UMNO di kerusi Muar menyaksikan Razali Ibrahim melawan Syed Saddiq dari PPBM.

Tambah beliau, kebanyakan calon dari UMNO dijangka dapat mengekalkan kerusi.

 

“Biarpun begitu, mungkin akan ada kemerosotan sedikit kerana ini saingan antara PR dan juga BN,” ujar beliau.

Ditanya mengenai pelung BN mengekalkan kerusinya di luar bandar yang dianggap deposit tetap di Semenanjung berbanding bandar, Sivamurugan  menjelaskan BN tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kesemua kerusi di luar bandar kali ini.

Katanya pada PRU13 lalu, BN telah memenangi 108 kerusi daripada 125 kerusi Parlimen luar bandar, 20 daripada 54 kerusi separa bandar dan 5 daripada 43 kerusi parlimen di bandar.

“Sudah pasti BN mahu pertahankan kerusi di bandar. Tetapi cabaran getir tetap ada kerana pembangkang menjangkakan tsunami Melayu luar bandar.

“Sudah pasti kita mahu lihat apakah senario itu mendapat  sokongan kekal dan dalam hal ini sememangnya BN mahu pastikan 125 kerusi itu dipertahankan, tetapi mungkin beberapa kawasan lain berdepan pertembungan sengit.

“Menang majoriti mudah tidak ada masalah untuk BN. Malah gerakan Hindraf bersama pembangkang yang berkempen sifar undi untuk BN’ tidak akan membawa kesan besar kerana ia tidak sekuat tahun 2007 dan sebahagian penyokong tegarnya sudah melihat kedudukan semasa Hindraf (tidak relevan),” katanya.

Beliau juga meramalkan MIC selaku komponen tumpuan utama masyarakat India berpeluang mempertahankan Hulu Selangor, Segamat dan juga kemenangan di Port Dickson kali ini.

Pun begitu tegasnya, MIC akan berdepan sedikit kekangan di Segamat manakala di Cameron Highlands wujud pertembungan lima penjuru.

“Bagaimanapun kehadiran PSM dan Pas serta bebas akan memecahkan undi yang diburu PKR di situ, sekaligus memberi kelebihan pada MIC pertahankan kerusi yang dimenanganinya sejak 2004 lagi kali ini.- MalaysiaGazette