KUALA LUMPUR – Golongan muda yang berusia 26 tahun ke bawah akan diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya jika Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat untuk memimpin Malaysia sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pengecualian itu bermula dari cukai taksiran 2017 dan seterusnya berkuatkuasa serta-merta.
Pengumuman gembira itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan terakhir menjelang kurang 24 jam sebelum lebih 14 juta orang pengundi menjalankan tanggungjawab mengundi masing-masing esok.
“Ini bermakna golongan muda berumur 26 tahun ke bawah, banyak mana pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai sama sekali.
“Saya tahu orang muda memerlukan wang yang mencukupi, maklum sahaja hendak beli kereta, hendak sewa rumah, perbelanjaan dan sebagainya, hendak bagi duit kepada mak, bapa. Jadi sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional begitu prihatin, maka pertama kali dalam sejarah negara Malaysia, mereka berumur 26 tahun ke bawah tidak perlu bayar cukai sama sekali,” katanya.
Najib berucap di perkarangan kediaman bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Pekan, Pahang.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah.
Najib menambah, jika BN kekal sebagai pemerintah, seluruh rakyat Malaysia diberikan cuti peristiwa khas selama dua hari berturut-turut pada 14 dan 15 Mei ini.
Manakala bagi negeri-negeri yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu, maka cuti umum diberikan pada 13 dan 14 Mei.
“Gunakan dua hari cuti ini untuk bersama-sama dengan keluarga, rapatkan hubungan dalam keluarga dan buatlah persiapan Ramadan bersama-sama keluarga tersayang,” katanya yang menerima tepukan daripada orang ramai.
Beliau sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan pengecualian bayaran tol selama lima hari dalam sambutan Hari Raya pada tahun ini.
“Tidak ada bayaran tol dikenakan, bukan untuk sehari, dua hari tetapi lima hari. Dua hari sebelum Hari Raya, nak balik kampung. Hari Raya pertama, kedua dan ketiga apabila hendak balik semula,” ujarnya.
Tegas Najib, keupayaan negara memberikan faedah-faedah yang diumumkan dalam manifesto Barisan Nasional dan pengumuman menjelang pilihan raya esok membuktikan Malaysia tidak bankrap dan tidak perlu diselamatkan. – MalaysiaGazette
umor 26 tahun banyak sangat ke harta. rakyat kena tipu hidup2 olih najib.
Memanglah yang berusia 26 tahun tu tak banyak harta. Kalau banyak harta takda pun mana-mana kerajaan di dunia nak beri pengecualian. Kalau bagi memang bankraplah. Sebab itu Najib bagi kepada 26 tahun supaya golongan ni-golongan yang baru nak belajar hidup boleh bernafas!