Home Nasional Nenek 94 tahun buang undi buat kali ke-14

Nenek 94 tahun buang undi buat kali ke-14

ALOR SETAR – Seorang nenek, Cik Don, 94, tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia apabila hadir untuk membuang undi buat kali ke-14 di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah di sini walaupun dalam keadaan uzur.

Beliau ditemani anaknya Sofiah Ibrahim,64 bersama beberapa orang cucunya yang menolak kerusi roda masuk ke tempat buang undi di dalam kawasan sekolah.

Cik Don yang mengalami sedikit masalah pendengaran dan tidak dapat berjalan lagi kerana masalah lutut semasa disapa wartawan MalaysiaGazette nyata teruja untuk mengundi.

Malah beliau turut mengimbau kembali kisah-kisah semasa negara mengadakan pilihan raya buat kali pertama pada tahun 1959.

“Saya mengundi sudah 14 kali sejak kita merdeka, nenek tidak pernah lupakan tanggungjawab dan setiap pilihan raya nenek akan undi.

“Pilihan raya ini penting demi masa depan negara kita tercinta,” kata beliau.

Pusat pembuangan undi beliau sama tempat dengan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Seramai 14,449, 200 orang pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa bagi menjalankan proses pengundian bagi PRU14 pihaknya telah menyediakan 8,253 Pusat Mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi. – MalaysiaGazette

+ posts