KUALA LUMPUR – Hampir 80 peratus calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung hari ini, keluar mengundi di kawasan masing-masing.
Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di pusat mengundi Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang kira-kira jam 9.20 pagi dan selesai mengundi pada jam 9.30 pagi.
Najib yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, yang disandangnya sejak 1976 berdepan cabaran daripada calon PKR, Mohamad Zahid Mat Arip; calon Pas, Kapten (B) Ahiatudin Daud dan calon Bebas, Datuk Kadir Sainudin.
Di Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mengundi di pusat pengundian Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Rungkup, Perak pada jam 8.10 pagi.
Beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah ditentang calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dan calon Pas, Ata Abdul Muneim Hasan Adli bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan kerusi berkenaan untuk enam penggal berturut-turut dan menjadi pengundi pertama mengundi di pusat pengundian itu.
Di Parlimen Gombak, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin antara yang terawal tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa juga selesai mengundi pada jam 8.23 pagi.
Menteri Besar Sekangor itu berdepan pertandingan lima penjuru termasuk adiknya, Azwan Ali yang bertanding atas tiket Bebas; calon BN, Salwa Yunus; calon Pas, Syarifah Hazlizah Syed Ariffin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Kamarudin.
Di Parlimen Titiwangsa, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengundi di SK Taman Maluri, Kuala Lumpur pada jam 8.35 pagi
Beliau turut menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat sebagai bukti sudah menunaikan tanggungjawabnya mengundi.
Di Parlimen Alor Setar, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang bertanding kerusi DUN Suka Menanti turut bersama pengundi dalam kawasannya untuk mengundi, pagi ini.
Beliau yang dicabar calon Pas, Mohd Sabri Omar dan calon PKR, Mohd Zamri Yusof selesai mengundi kira-kira jam 8.30 pagi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di Parlimen Langkawi, tiba agak lewat daripada calon lain untuk mengundi di SK Titi Gajah.
Beliau yang diiringi beberapa penyokongnya selesai mengundi pada jam 11 pagi ini.
DI PARLIMEN MASJID TANAH pula menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melawan calon PKR, Datuk Dr Sabirin Jaafar dan calon Pas Mohd Nasir Othman.
Sementara itu, di Putrajaya, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah memberitahu, peratusan keluar mengundi pada sebelah pagi sangat baik dengan 24 peratus daripada keseluruhan 14,449,200 pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat jam 10 pagi ini.
Katanya, berdasarkan laporan awal diterimanya, proses pengundian di seluruh negara turut berjalan lancar dan berharap sasaran 85 peratus keluar mengundi dapat dicapai.
“Jika diperhatikan sejak jam 8 pagi kehadiran di pusat mengundi memang ramai dan saya jangkakan tengah hari ini keadaan jadi reda sedikit.”
“Dijangka dalam jam 2 atau 3 petang sehingga 5 petang kehadiran akan bertambah semula. Ini trend sejak dahulu lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di SK Putrajaya Presint 16 (1), hari ini.
Beliau juga menasihatkan pengundi supaya keluar awal kerana bimbang dengan cuaca pada sebelah petang yang diramalkan hujan di beberapa negeri.
Mengenai isu pengundi memakai seluar pendek tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi yang tular di media sosial, Mohd Hashim berkata, jika insiden tersebut benar-benar terjadi, individu terbabit boleh membuat laporan kepada polis atau mengemukakan petisyen mahkamah.
“SPR tidak boleh menerima aduan secara cakap-cakap begini. Saya perhatikan di media sosial banyak isu ditularkan, tetapi tidak banyak yang dikemukakan kepada polis,” katanya.
Mohd Hashim berkata, SPR tidak pernah menetapkan sebarang kod etika berpakaian ketika mengundi dan memadai sekadar pengundi berpakaian sopan.
Mengulas isu pengundi meletakkan kertas undi dalam peti undi yang salah, beliau berkata, pengundi tidak perlu bimbang kerana undi mereka akan tetap dikira ketika sesi pengiraan selepas pengundian ditutup jam 5 petang nanti.
“Ini bukan undi rosak, ketika perkiraan nanti, ejen (calon dan parti) ada dan dia akan lihat kertas undi mana untuk kerusi Parlimen dan mana untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Menurut laporan media, pengundi di Balai Mesyuarat Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan meletakkan kertas undi untuk Parlimen ke dalam peti undi untuk DUN dan sebaliknya. – MalaysiaGazette