KUALA LUMPUR – Polis mendapatkan perintah reman selama tujuh hari ke atas dua suspek wanita terlibat dalam kes kematian lelaki warga Korea Utara, Kim Jong Nam pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Abdul Samah Mat mengesahkan penahanan reman kedua-dua wanita itu untuk membantu siasatan polis dalam kes itu.
Katanya, kedua-dua suspek dibawa dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pada pagi tadi sebelum perintah reman dikeluarkan.
Perintah reman diperolehi ke atas suspek wanita warga Vietnam berusia 29 tahun dikenali sebagai Doan Thi Huong yang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pukul 8.20 pagi semalam.
Seorang lagi wanita warga Indonesia dikenali Siti Aishah, 25, turut direman selama tujuh hari.
Menurut kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi tadi, Siti Aishah ditahan sekitar pukul 2 pagi ini semasa berseorangan.
Kedua-dua wanita itu direman selepas imej mereka dikesan dalam Kamera Litar Tertutup (CCTV) klia2.
Dalam kejadian pukul 8 pagi Isnin lalu, Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mati selepas kepalanya dikatakan diserkup dengan kain yang mengandungi cecair di klia2.
Jong Nam dikatakan ke klia2 untuk terbang ke Macau selepas tiba di Malaysia sejak 6 Februari lalu. – MalaysiaGazette