PARIS – Kelab gergasi Liga 1, Paris St Germain (PSG) terpaksa berhempas-pulas menewaskan pasukan divisyen tiga, Les Herbiers 2-0 untuk menjuarai Piala Perancis, awal pagi tadi.
Kemenangan manis itu memboleh pasukan tersebut sekali gus merangkul tiga gelaran domestik musim ini.
Gol kemenangan kelab gergasi Perancis itu dijaringkan Giovani Lo Celso dan Edinson Cavani pada kedua-dua babak permainan.
Ia adalah kemenangan ke-12 PSG dalam kancah Piala Perancis yang juga rekod baharu dalam saingan berkenaan.
Kemenangan itu menyaksikan PSG mengharungi 42 perlawanan tanpa kalah dalam kempen piala tetapi mereka turut menggegar palang Les Herbiers sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 minit perlawanan.
Les Herbiers yang bergelut dalam zon penyingkiran divisyen tiga bertahan dengan baik tetapi gagal untuk melakukan kejutan terbesar di Stade de France.
Selepas mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dan Piala Liga, kejayaan menjulang Piala Perancis menyaksikan jurulatih PSG, Unai Emery akan meninggalkan kelab berkenaan dengan penuh bangga.
Kontrak pengendali dari Sepanyol itu tidak diperbaharui pada penghujung musim ini dan beliau kini mempunyai dua lagi perlawanan liga untuk dikendalikan. – MalaysiaGazette