KUALA LUMPUR – Sehingga pukul 1 petang ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 55 peratus.
Proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 berjalan lancar sejak awal pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashimd Abdullah berharap dengan tempoh masa yang berbaki beberapa jam lagi, semua pengundi dapat keluar mengundi.
Beliau menafikan isu tular kertas undi tidak dicop yang dikatakan berlaku di sebuah pusat mengundi.
“Hasil semakan mendapati ianya tidak berlaku sepertimana yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Hashim menjelaskan jika ada berlaku kesilapan itu, ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi telah dikeluarkan secara sah dan ia hanya merupakan kesilapan petugas dalam salurannya, maka Ketua Tempat Mengundi berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah.
Pengundi-pengundi juga diminta agar tidak terpedaya dengan mesej tular ini yang kononnya SPR telah melakukan penipuan dengan cara sedemikian kerana proses ini turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk ejen-ejen calon.
SPR percaya mesej tular tersebut cuba untuk menimbulkan situasi panik dan curiga dalam kalangan pengundi terhadap SPR, tambah beliau.
Katanya, SPR akan menyiasat perkara ini di mana masalah atau puncanya berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan ada pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima.
SPR telah menerima beberapa aduan berkaitan isu ini dan memandang serius serta akan menyiasat lanjut tentangnya.
Mengulas mengenai pengundi beratur panjang, keadaan ini berlaku ekoran pengundi keluar serentak dalam satu masa.
“Situasi ini dipercayai berlaku ekoran pengundi terpengaruh dengan mesej tular sebelum ini yang mengesa pengundi keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka,” kata Mohd Hashim.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh masa pengundian yang berbaki beberapa jam lagi, SPR menjangkakan serangan mesej-mesej tular yang palsu dan tidak bertanggungjawab akan terus disebarkan.
Lantaran itu, SPR berharap orang ramai khususnya pengundi tidak terpengaruh dan terpedaya dengan mesej yang cuba menimbulkan suasana panik. – MalaysiaGazette