KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji akan menghapuskan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya mereka diberi kepercayaan memerintah kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam keputusan awal pagi tadi, jumlah kerusi Parlimen diperolehi PH membolehkan parti itu membentuk kerajaan, sekali gus melantik pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Justeru, dalam tempoh 100 hari pertama PH menjadi kerajaan, dapatkah parti itu menunaikan janji utamanya untuk menghapuskan GST dan mengembalikan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)?
Bagaimanapun, menurut beliau, tidak ada pengunduran (GST), bahkan ia adalah pembatalan dan kerajaan PH tidak memerlukannya.
“Tiada pengunduran GST, ia adalah pembatalan dan kita kembali kepada cukai jualan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
GST sebanyak enam peratus di Malaysia diperkenalkan pada 1 April 2015 untuk menggantikan SST.
Pakatan dalam usaha mereka ke Putrajaya menyatakan cukai itu telah menyebabkan kos sara hidup di Malaysia meningkat.
Mengenai perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China, Dr Mahathir berkata, mereka perlu mengkaji semua perkara yang dilakukan oleh kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Seperti anda ketahui, China mempunyai pengalaman yang lama dalam menangani perjanjian yang tidak adil dan China menyelesaikannya dengan rundingan semula, jadi kita rasa kita berhak untuk mengkaji semula dan jika perlu kita akan merundingkan semula terma-terma terbabit.
“Apa yang membimbangkan kita adalah jumlah wang yang dipinjam oleh kerajaan (BN) sebanyak RM55 bilion hanya untuk Laluan Keretapi Pantai Timur dan banyak pinjaman lain yang akan membebankan negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan yang bertanggungjawab harus cuba mengurangkan jumlah pinjaman, kalau tidak negara akan berada dalam keadaan tidak baik.
Mengenai inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Dr Mahathir berkata, gabungan itu tidak mempunyai masalah dengannya, kecuali Malaysia tidak suka melihat terlalu banyak kapal perang di rantau ini.
BRI, idea pembangunan mega yang dicadangkan China pada 2013 ialah rangkaian infrastruktur pelbagai dimensi merangkumi laluan pengangkutan darat, laut dan udara serta disokong projek jalan kereta api, pelabuhan dan saluran gas. – MalaysiaGazette