Home Nasional Cuti tambahan sempena PRU hari kelepasan am

Cuti tambahan sempena PRU hari kelepasan am

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 10 dan 11 Mei 2018 sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara sempena Pilihanraya Umum (PRU) ke 14.

Bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, maka hari Ahad, 13 Mei 2018 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan.

Kementerian Sumber Manusia berkata, cuti ini telah diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951.

Sehubungan itu, cuti tersebut adalah cuti umum yang diperuntukkan kepada para pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

Berdasarkan kepada peruntukan ini, para majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada para pekerja.

Sehubungan itu, majikan dikehendaki memberitahu para pekerja mereka sama ada memilih tarikh 10 dan 11 Mei 2018 sebagai hari cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain.

Sekiranya tiada penggantian dibuat dengan mana-mana hari lain, maka para pekerja yang bekerja pada tarikh-tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum.

Bagi Sarawak sahaja, kerajaan negeri telah mengumumkan hari kelepasan am tersebut adalah pada 17 dan 18 Mei 2018. Oleh itu, 10 dan 11 Mei 2018 adalah merupakan hari bekerja biasa.

Pengumuman tersebut telah dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Public Holidays Ordinance dan merupakan cuti tambahan kepada pekerja di Sarawak.

Sehubungan dengan itu, majikan dikehendaki memberikan cuti tersebut kepada pekerjanya sebagaimana yang ditetapkan oleh seksyen 104(1)(b) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Cuti kelepasan tersebut merupakan cuti tambahan berbayar kepada 16 cuti umum yang dinikmati oleh pekerja di Negeri Sarawak. – MalaysiaGazette

+ posts