PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh.
Enggan mendedahkan anggota pasukan berkaliber tinggi itu, Apandi berkata beliau yakin lapan pakar tempatan dan antarabangsa terbabit setanding dengan pasukan Singapura.
“Saya rahsiakan dahulu, saya tidak akan umum sekarang. Namun saya boleh beritahu anda, kami setanding dengan siapa juga yang dihantar Singapura dan saya sedang menumpukan kepada isu Pulau Batu Puteh.
“Setakat ini saya ada enam pakar tidak termasuk saya, dan berkemungkinan besar akan menambah seorang dua lagi. Saya akan umumkan individu-individu ini kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Jabatan Peguam Negara, di sini hari ini.
Pada 3 Feb lalu, Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap penghakiman ICJ mengenai Pulau Batu Puteh bersandarkan tiga dokumen yang baru didedahkan oleh United Kingdom.
Dokumen terbabit merupakan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun-tahun 1960-an.
Mohamed Apandi berkata beliau yakin bukti baharu itu boleh memberi keputusan yang memihak negara.
Ditanya mengenai tarikh prosiding kes, Peguam Negara itu berkata permohonan mesti disampaikan kepada Singapura berserta tempoh masa untuk Singapura memberi maklum balas sebelum kedua-dua pihak dipanggil ke ICJ di The Hague.
“Kemudian kami akan hadir di ICJ untuk tarikh sebutan dan mungkin kemudian menetapkan tarikh pendengaran. Bagaimanapun ICJ sangat sibuk dengan mitigasi lain antara negara-negara Afrika. Justeru, untuk dapatkan tarikh itu mungkin ambil masa, sama ada dalam tahun ini juga atau tahun depan,” katanya.
Mohamed Apandi menjelaskan secara ringkas bahawa keputusan ICJ pada 2008 berkisar pada sepucuk surat oleh timbalan setiausaha kerajaan negeri Johor yang memberitahu Singapura bahawa Malaysia tidak menuntut kedaulatan terhadap ‘pulau batu puteh’ pada 1953.
“Sekarang kita boleh guna bukti baharu dalam bentuk dokumen, telegram, surat-menyurat (1958) dan peta-peta (1962-1966), iaitu terkemudian daripada 1953. Semua ini jelas menunjukkan Pulau Batu Puteh kepunyaan Johor,” katanya.
Ditanya mengapa Malaysia tidak mengemukakan bukti-bukti tersebut kepada ICJ ketika itu, Mohamed Apandi berkata kesemua bukti tersebut tidak diperoleh kerana diklasifikasi sebagai dokumen kerajaan British dan tidak dibuka kepada orang awam.
“Kerajaan British hanya mengklasifikasikan semula dokumen itu pada September 2013 iaitu lima tahun selepas keputusan ICJ berhubung Pulau Batu Puteh. Setelah dokumen dibuka kepada orang awam, pasukan saya mula menyiasat dan memeriksa lebih 3,000 dokumen untuk mencari tiga bukti ini.
“Sebab itu kami failkan semakan kehakiman. Kami amat percaya fakta-fakta baharu ini akan mengubah pertimbangan ICJ. Jika bukti-bukti ini ada dahulu, pulau itu tidak akan menjadi kepunyaan Singapura. Ia kepunyaan kita,” katanya.
Mohamed Apandi turut mengulangi proses semakan semula itu tidak akan menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Singapura.
— BERNAMA