Home Nasional Mat Sabu akan jumpa PAT

Mat Sabu akan jumpa PAT

Mohamad Sabu

PETALING JAYA – Mohamad Sabu yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan akan memgadakan perjumpaan dengan Pangliman Angkatan Tentera Malaysia (PAT) dan tiga Panglima sayap tentera dalam masa terdekat.

Katanya, dalam perjumpaan itu juga beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai ‘kehilangan’ tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagaimana didedahkan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Beri saya masa dulu..sebab saya baru tahu hari ini dengan pelantikan ini.

“Tugas pertama saya ialah berjumpa dengan pegawai tertinggi ATM dan dapatkan maklumat mengenai perkara itu (skandal kehilangan tanah ATM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media khas Perdana Menteri mengumumkan Menteri Kabinet baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Pada pengumuman itu, Tun Dr. Mahathir hanya menamakan tiga menteri sahaja iaitu Mat Sabu Menteri Pertahanan; Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan).

Tujuh kementerian lagi akan diumumkan dalam masa terdekat ini selepas selesai proses saringan, yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir dalam memilih pemimpin berkelayakan untuk menerajui setiap kementerian.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berkata, senarai nama untuk dicadangkan Menteri Besar Johor telah diserahkan kepada Sultan Johor oleh Muhyiddin semalam.

Ditanya berhubung tiga nama yang dicadangkan, beliau hanya menyatakan untuk menyerahkan keputusan itu kepada sultan.

“Ya, Muhyiddin ada serahkan senarai nama (Menteri Besar) kepada sultan. Kita tunggu pengumuman sultan.

“Jangan dengar sebarang spekulasi mengenai siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar. Kita terima sesiapa sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette