PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghalang Perhimpunan RUU 355 diadakan Sabtu ini berikutan penganjurnya telah mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata DBKL telah membenarkan penganjur menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan.
“Pihak KDN, khususnya PDRM, tidak mempunyai halangan jika pihak berkuasa tempatan memberi keizinan menggunakan kemudahan awam,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat bersama wakil industri berkenaan pekerja asing di sini hari ini.
Semalam, PAS dilaporkan berkata kira-kira 200,000 orang dijangka hadir perhimpunan tersebut yang bertujuan meraih sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
RUU Persendirian itu dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 24 Nov lepas bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan
hukuman jenayah.
Sementara itu, mengulas permintaan syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride agar perkhidmatannya tidak diharamkan, Ahmad Zahid berkata keputusan Jemaah Menteri semalam dibuat berasaskan beberapa faktor yang telahpun
dinyatakan Kementerian Pengangkutan.
“Kita merasakan sistem (pengangkutan awam) sedia ada mencukupi untuk penumpang di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur,” katanya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata pengharaman perkhidmatan teksi motosikal itu dibuat atas faktor keselamatan pengguna.
- BERNAMA –