KUALA LUMPUR- Sebelas negara Perkongsia Trans Pasifik (TPP) dijangka memutuskan masa depan perjanjian tersebut Mei ini semasa menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Vietnam.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menteri-menteri berkaitan TPP akan bertemu semasa mesyuarat tersebut dan memutuskan tindakan selanjutnya.
Jelasnya, Malaysia terbuka kepada sebarang cadangan berhubung perjanjian berkenaan sama ada mengadakan perjanjian dua hala atau membentuk pakatan baharu tanpa Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, keputusan akan dibuat berdasarkan persefahaman yang bakal dicapai semasa mesyuarat tersebut.
Perjanjian dua hala dan pakatan di antara 11 negara adalah cerita lain tetapi apa yang diperlukan sekarang adalah rundingan mendalam mengenai banyak isu dan sudah pasti ianya sukar.
Mungkin perjanjian perdagangan dengan beberapa negara yang kita masih belum ada seperti Kanada, Mexico dan Peru adalah pilihan yang lebih baik,” katanya semasa menghadiri sesi bersama sektor swasta sempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan kementerian beliau dan agensi di sini hari ini.-MalaysiaGazette