Home Politik Tun M, Wan Azizah regu terbaik

Tun M, Wan Azizah regu terbaik

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2018
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Kepimpinan PKR yakin dan dengan kewibawaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai satu regu terbaik memerintah negara.

Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan telah berjalan dalam keadaan lancar dan harmoni dalam penentukan barisan Kabinet peringkat kerajaan Pusat.

“Cuma dalam proses (perbincangan PH) yang berlaku semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir ke mesyuarat dan sebab itu PM (Tun M) datang sendiri ke hospital dan berbincang dengan Anwar.

“Proses itu berjalan baik dan harmoni kerana harapan dan sokongan rakyat kepada PH (Pakatan Harapan) terlalu besar.

“Jangan kita mengecewakan harapan tinggi rakyat kepada kepimpinan Tun M dan Dr Wan Azizah dalam membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau mengulas demikian selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa pelantikan tiga menteri kanan kabinet oleh Tun M tidak muktamad kerana tidak melibatkan wakil PKR dalam proses perbincangan itu.

Mohamed Azmin melawat Anwar sekitar pukul 1.49 petang telah meluangkan masa lebih sejam setengah bagi membincangkan penentuan barisan kabinet baharu peringkat pusat secara bermuafakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari pintu utama Unit Kemasukan Pesakit Wad-wad selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2018

Dalam perkembangan sama Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak melihat perbincangan semalam antara dua tokoh besar itu cukup baik dan positif.

Ditanya lagi bahawa perkembangan itu sebagai bukti PKR menyokong pelantikan tiga menteri kanan itu, Azmin berkata, keputusan telah dibuat melalui proses perbincangan sambil menegaskan keinginan Anwar yang menyatakan perbincangan itu perlu diteruskan secara menyeluruh supaya pandangan semua parti harus dihormati mengikut tradisinya.

Justeru katanya, Anwar juga telah mengulangi sokongannya kepada PKR kepada terhadap kepimpinan Tun sebagai PM dan juga Wan Azizah sebagai TPM dan menggesa semua kepimpinan parti dan rakyat memberikan sokongan padu.

“Namun pada masa yang sama kita menyatakan kepada PM supaya proses rundingan untuk pelantikan kabinet ini harus diteruskan dalam semangat muafakat dan juga bersifat inklusif melibatkan semua parti yang telah disambut baik Tun M.

“Lebih penting ialah kita perlu memastikan aspirasi rakyat di negara ini dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar dan program-program yang akan dilaksanakan,” katanya.- MalaysiaGazette