Home Politik Rafizi kena positif isu pelantikan menteri

Rafizi kena positif isu pelantikan menteri

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar

PULAU PINANG – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mahu rakan sejawatnya, Rafizi Ramli bersikap positif berhubung pelantikan tiga menteri kanan Kabinet Pakatan Harapan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah mendapatkan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu memastikan pentadbiran negara bertumpukan kepada rakyat menerusi kerjasama yang baik antara semua pihak.

“Saya kawan baik dengannya (Rafizi) dan beliau perlu ambil positif dengan perkara ini (pelantikan Menteri kanan).

“Marilah kita lakukannya secara positif dan mengatasi apa sahaja yang berlaku untuk melalui fasa baharu pembentukan kerajaan di bawah Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Kesyukuran Pakatan Harapan di Permatang Pauh, di sini petang ini.

Semalam, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai menteri kanan yang dibuat Dr. Mahathir adalah tanpa perbincangan dan rundingan dengan PKR.

Menyentuh isu sama, Nurul Izzah berkata, kenyataan lanjut juga akan dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau dibebaskan dari penjara yang dijangka Selasa ini.

Dalam masa sama, beliau memuji pandangan yang dibuat Tan Sri Dr. Rais Yatim berhubung isu itu yang disifatkan sangat berguna.

“Kita ambil kesemua komentar yang dibawa dalam hasrat untuk memastikan pentadbiran ini bertumpukan kepada rakyat,” katanya.

Rais dalam komentarnya sebelum ini menggesa Pakatan Harapan tidak memandang remeh teguran Rafizi kerana menyifatkan Rafizi sudah banyak berkorban untuk Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette