Home Utama Rafizi bersuara lagi pertahan kenyataannya adalah pendirian PKR

Rafizi bersuara lagi pertahan kenyataannya adalah pendirian PKR

Rafizi Ramli mempertahankan bahawa kenyataannya berhubung pelantikan tiga menteri kanan adalah pendirian PKR dan bukannya pendirian peribadi beliau.
Rafizi Ramli Rafizi Ramli mempertahankan bahawa kenyataannya berhubung pelantikan tiga menteri kanan adalah pendirian PKR dan bukannya pendirian peribadi beliau.

KUALA LUMPUR – Semalam Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberitahu, kenyataan Rafizi Ramli berhubung pelantikan tiga menteri kanan yang menurut beliau belum muktamad lagi merupakan kenyataan peribadi Naib Presiden parti itu.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar meminta Rafizi menerima keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu secara positif.

Bagaimanapun, hari ini Rafizi tetap mempertahankan bahawa apa yang disuarakan oleh beliau adalah pendirian Keadilan dan bukannya kenyataan peribadinya.

“Kenyataan yg saya keluarkan itu adalah kenyataan pendirian @KEADILAN bukan kenyataan peribadi saya. Oleh kerana saya satu2nya pimpinan kanan yg tidak akan menyertai kerajaan (lalu tiada conflict of interest), sebab itu ia dikeluarkan oleh saya,” katanya menerusi laman Twitter beliau.

Rafizi mengimbas semula mesyuarat pertama mengenai portfolio yang berlangsung pada Jumaat lalu antara Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Seri Wan Azizah Ismail, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Katanya, tiada persetujuan dicapai dan perbincangan sepatutnya bersambung pada keesokan harinya iaitu Sabtu dan PKR meminta supaya perbincangan turut melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Umum Pakatan Harapan dan PKR.

Bagaimanapun, katanya, permintaan tersebut tidak kesampaian apabila pengumuman terus dibuat oleh Dr Mahathir tanpa penyertaan pemimpin PKR yang ketika itu sedang menunggu di Hospital Rehabilisasi Cheras

“Selepas itu baru @cmlimguaneng @chedetofficial datang bertemu DSAI,” katanya.

Menurut Rafizi, tidak timbul isu ini sepatutnya terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat kerana mesyuarat yang melibatkan penyertaan Anwar itu tidak berlaku.

“Oleh kerana ia diumumkan tanpa dirundingkan dengan @KEADILAN, adalah terlambat untuk dimaklumkan di dalam mesyuarat,” katanya.

Kelmarin Dr. Mahathir mengumumkan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Berikutan itu Rafizi mengeluarkan satu kenyataan bahawa pengumuman tersebut belum muktamad kerana ia tidak dirundingkan dengan semua parti yang terlibat. – MalaysiaGazette

BACA: Rafizi kena positif isu pelantikan menteri

BACA: Pengumuman Kabinet belum muktamad – Rafizi

Khairuddin curigai motif Rafizi