Home Seni Hidup Tidak pernah digam TV3 – Siti Nurhaliza

Tidak pernah digam TV3 – Siti Nurhaliza

Sesi fotografi bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018
Sesi fotografi bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018

KUALA LUMPUR –  Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan pernah digam daripada muncul di stesen televisyen TV3 selama ini.

Siti, 39, mengakui beliau memang kurang muncul di saluran tersebut namun tidak timbul isu dia tidak dibenarkan membuat persembahan untuk TV3.

“Tiada istilah digam oleh TV3 dan saya masih muncul untuk program Melodi, contohnya beberapa hari sebelum bersalin.

“Apa yang saya faham daripada komen Ashraf (anak tirinya) ialah saya kurang muncul bukan digam di TV3,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi raya Creacion by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, semalam.

Datuk Siti Nurhaliza bersama model yang memperagakan koleksi baju sempena lebaran yang bakal menjelma pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018

Baru-baru ini, Ashraf membuat pendedahan dalam ruangan komen di akaun Instagram @syedsaddiq merangkap Ahli Parlimen Muar, Johor bahawa Siti selama ini telah digam daripada muncul di TV3.

Ini kerana Siti pernah menyuarakan sokongan terbuka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, ibu kepada Siti Aafiyah berkata, beliau tetap memegang amanat arwah bapanya, Tarudin Ismail agar menjadi penyanyi yang menghiburkan rakyat dan bukan sesetengah pihak sahaja.

“Saya boleh menyanyi untuk sesiapa dan bukan terbatas kepada pihak kerajaan atau pembangkang sahaja kerana selaku anak seni, muzik itu untuk semua.

“Arwah bapa sering menasihati saya tentang perkara itu dan saya pegang sehingga kini,” jelasnya. – MalaysiaGazette