KUALA LUMPUR – Maybank mengumumkan pelantikan Datuk John Chong Eng Chuan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti berkuatkuasa 18 Julai ini.
Beliau menggantikan Datuk Lim Hong Tat yang akan bersara daripada Maybank pada tarikh yang sama.
John, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) Maybank Kim Eng (MKE) mempunyai 25 tahun pengalaman dalam perbankan pelaburan bersama Kumpulan Maybank.
Beliau menyertai Maybank IB (sebelum itu Aseambankers Malaysia Berhad) pada bulan Mac 1993 sebagai pegawai dalam Jabatan Perbankan.
Sementara itu, Datuk Lim Hong Tat menyertai Maybank pada tahun 1981 selepas beliau tamat sebagai pelajar tajaan bank.
Dalam 37 tahun perkhidmatan beliau bersama Kumpulan Maybank, beliau telah memegang pelbagai jawatan utama – daripada mengurus cawangan, pejabat serantau, operasi kad kredit dan perbankan antarabangsa juga sebagai Pengarah/Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Philippines Inc, Ketua Perbankan Antarabangsa, Ketua Perbankan Pengguna dan kini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti. – MalaysiaGazette