Home Utama Guan Eng belum sahih Menteri Kewangan, kata PM

Guan Eng belum sahih Menteri Kewangan, kata PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua - Ketua Setiausaha Kementerian dan menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 MEI 2018.
Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Walaupun Lim Guan Eng sudah dinamakan sebagai Menteri Kewangan sebelum ini namun hari ini Perdana Menteri menegaskan ia belum sahih lagi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, seseorang yang mahu dilantik sebagai menteri harus bersih daripada pertuduhan dan sekiranya ada mereka tidak layak.

“Guan Eng belum angkat sumpah sebagai menteri, cuma dia dinamakan sahaja. Setiap menteri yang akan dilantik mesti yang layak, kalau ada kes kita tidak boleh lantik beliau jadi menteri,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Kenyataan itu mungkin ada kaitan dengan bantahan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini yang mendakwa pelantikan menteri kanan masih belum muktamad kerana belum dipersetujui oleh PKR.

Justeru itu, Mahathir dalam masa yang sama mahu setiap daripada pemimpin PH perlu bebas daripada sebarang pertuduhan bagi dilantik sebagai menteri dalam Kabinetnya.

Malah katanya, keputusan untuk melantik mana-mana menteri adalah bergantung kepada budi bicara beliau selaku Perdana Menteri.

“Buat masa ini, Kementerian Kewangan akan buat laporan kepada saya . Tetapi kita ada ahli panel yang akan melihat kepada tugas-tugas sebagai Menteri Kewangan.

“Semua pelaksanaan yang boleh dibuat masa ini, akan dilaksanakan. Ada yang kena tunggu sehingga menteri dilantik,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Mahathir menamakan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan selain Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Ketiga-tiga mereka disebut sebagai menteri kanan yang akan menganggotai Kabinet Tun Dr. Mahathir setelah gabungan itu memenangi PRU-14 lalu. – MalaysiaGazette

Guan Eng, Mat Sabu, Muhyiddin dilantik menteri kanan