Home Sukan Acara larian terbesar sempena Piala Dunia 2018

Acara larian terbesar sempena Piala Dunia 2018

KUALA LUMPUR- Kehangatan kejohanan bola sepak paling berprestij Piala Dunia FIFA 2018 semakin dirasai oleh para peminat bola sepak di seluruh dunia.

Mereka sudah pasti teruja untuk mengikuti perlawanan kumpulan sehingga perlawanan akhir bagi menentukan siapakah juara kali ini.

Di Malaysia, pastinya akan berlaku demam yang sama.

Kali ini Moscow, Rusia menjadi tuan rumah Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 yang ke-20 yang berlangsung pada 14 Jun 2018 sehingga 15 Julai 2018.

Walaupun pasukan tempatan masih lagi belum mencapai tahap untuk layak ke Piala Dunia tetapi sudah pasti ramai peminat yang menyimpan angan-angan untuk ke sana bagi menonton dan menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Uniknya, Piala Dunia kali ini akan berlangsung pada hari terakhir dalam bulan Ramadan dan sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Kini, tinggal satu bulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya perlawanan bola sepak terunggul di dunia itu.

Sempena demam bola sepak, satu acara larian terbesar, Piala Dunia FIFA 2018 Futbal Fanatix Run @Shah Alam akan diadakan selain program perhimpunan peminat-peminat bola sepak dari seluruh negara berkumpul menonton perlawanan siaran langsung.

Ia merupakan anjuran Titan Empire Event Management.

Menurut Pengarah Urusan Titan Empire Event Management, Datuk Seri Mahadi BZ (gambar bawah), Futbal Fanatix Run @Shah Alam merupakan satu acara larian berkonsep ceria bersama masyarakat.

Ia juga satu aktiviti riadah bakal dianjurkan bersempena siaran lansung perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 pada Sabtu, 7 Julai 2018 pukul 10.00 malam, katanya.

“Larian itu berkonsepkan kekeluargaan dan yang mana terdapat tiga acara larian berbeza bakal berlangsung iaitu larian keceriaan bagi jarak 3 kilometer, 5 kilometer dan 10 kilometer,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Titan Empire Event Management, Hamizan Safaia pula memberitahu, acara itu akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor dan ia bermula seawal jam 7.30 sehingga 12 tengah malam.

Hamizan
Hamizan

“Pada jam 10 malamnya pula akan berlangsungnya perlawanan suku akhir bagi Piala Dunia FIFA 2018.

“Selain acara larian, program yang sama mengandungi pelbagai aktiviti menarik sampingan dan bermanfaat kepada para peserta larian dan pengunjung seperti skrin LED besar bagi menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2018, tarian Zumba, mini karnival, persembahan artis dan penampilan istimewa pemain-pemain dan lagenda bola sepak tanah air,” katanya.

Selain itu, busking, food truck, hot air balloon dan cabutan bertuah dengan hadiah menarik juga akan disediakan, katanya.

Bagi tujuan pendaftaran boleh melayari www.futbalfanatix.com
03 7733 5778.- MalaysiaGazette