Home Utama BN kini kena lawan 2 gergasi politik, kata KJ

BN kini kena lawan 2 gergasi politik, kata KJ

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi pembangkang perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan dua nama besar dalam politik di Malaysia.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, kedua-dua nama besar itu ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pilihan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14 menjadi simbolik kepada BN untuk menjadi parti pembangkang yang mantap.

“Kita perlu bersedia, kita menentang dua gergasi, dua nama besar di dunia politik. Kita perlu memastikan bahawa kita siap sedia.

“Rakyat Malaysia telah memilih dua gergasi untuk memimpin kita, cabaran kami adalah untuk memastikan kami dapat memainkan peranan sebagai pembangkang.

“Saya ibarat semut menentang dua gergasi itu dan saya perlu memastikan saya dapat berfikir dengan pantas dan bergerak dengan cepat dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Khairy dipetik sebagai berkata ketika ditemubual Channel News Asia hari ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau itu mengakui  kesilapan kerana tidak berterus terang kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak terdapat respon negatif yang diterima sebelum ini.

“Tiada siapa yang mahu mengakui ada masalah. Itu kesilapan besar di pihak kita. Adakah isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar akan isyarat itu.

“Ini tidak harus berlaku lagi, kita tidak boleh membiarkan pemimpin UMNO terpisah dengan realiti dan tidak menyoal soalan yang sukar. Jika kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada kebenaran, UMNO akan pupus,” katanya lagi.-MalaysiaGazette