KUALA LUMPUR – Hutang prinsipal dan pembiayaan Kumpulan 1MDB sehingga 31 Oktober 2015 adalah berjumlah RM58.60 bilion.
Jabatan Audit Negara dalam Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, sejumlah RM20.31 bilion daripada pinjaman dan pembiayaan tersebut mendapat jaminan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.
Menurut laporan itu, analisis aliran tunai bagi penyata kewangan tahun 2010 hingga 2014 menunjukkan terbitan modal saham 1MDB secara tunai hanya berjumlah RM1 juta.
Terbitan saham modal yang kecil ini menunjukkan ketidakstabilan syarikat kerana ia perlu meminjam bagi membiayai aktivitinya.
Sepanjang tempoh kewangan 2010 hingga 2014, 1MDB mendapat 17 pinjaman dan pembiayaan (tidak termasuk pinjaman yang diwarisi) dengan nilai nominal RM42.88 bilion dan tunai RM39.17 bilion.
Bagaimanapun, aktiviti yang dibiayai melalui pinjaman dan pembiayaan tersebut tidak menjana aliran tunai yang sepadan untuk membayar balik pinjaman tersebut. – MalaysiaGazette