KUALA LUMPUR- Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2017 melibatkan sebanyak 5,153,238 penerima.
Negeri Selangor mencatatkan kelulusan tertinggi, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi catatan di laman blognya, www.najibrazak.com, Najib mengumumkan agihan pertama BR1M secara berperingkat akan bermula esok.
Selain itu, sebanyak 3,123,950 permohonan lagi masih dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan.
“Daripada segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas.
“Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1,200 manakala 243,434 bagi bantuan RM900 dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450,” katanya.
Kata Perdana Menteri, mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 666,316 permohonan serta Sabah dan Sarawak yang masing-masing sebanyak 477,482 dan 537,588 permohonan.
Najib pada masa sama turut menyelar tindakan pembangkang yang acap kali mempolitikkan dan memperlekehkan pemberian BR1M kepada rakyat dengan mengatakan bantuan itu sebagai dedak, usaha memancing undi, dan rasuah.
Katanya pembangkang perlu lebih sensitif kerana penerima menggunakan BR1M untuk membeli keperluan harian dan sebagainya.
“Janganlah menggunakan bahasa kesat, mengelirukan dan merendahkan martabat mereka hanya untuk kepentingan politik.
“BR1M tidak seharusnya dipolitikkan. Berhentilah juga mengatakan saban tahun negara akan muflis, walhal saban tahun juga jumlah BR1M dinaikkan bagi lebih membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan BR1M adalah bantuan ikhlas kerajaan kepada mereka memerlukan, yang tidak mengira kaum, agama, mahu pun pegangan parti politik dan diagihkan mengikut kelayakan serta kriteria ditetapkan berdasarkan pendapatan perseorangan atau seisi rumah.
BR1M adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang diguna pakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami banyak ketirisan, katanya. – MalaysiaGazette