Home Nasional Kerajaan kaji dasar lama, tidak pinggir penggiat seni

Kerajaan kaji dasar lama, tidak pinggir penggiat seni

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji dasar-dasar yang digunapakai pada masa ini sebagai usaha untuk mengenalpasti sama ada ia berjaya atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pantai Dalam, Fahmi Fadzil berkata, keputusan untuk membuat dasar-dasar baharu tanpa meneliti secara terperinci dasar-dasar lama dibimbangi akan menyebabkan kerajaan terperangkap.

Menurutnya, kajian itu meliputi faedah yang akan melibatkan golongan penggiat seni di negara ini agar mereka tidak dipinggirkan.

“Kita akan gubal beberapa dasar, bukan sahaja untuk anak-anak seni tetapi industri agar dapat dipacu dengan lebih baik.

“Waktu ini kita belum melantik menteri yang bertanggungjawab dalam bidang ini tapi janji saya kepada anak seni, sebagai seorang penggiat teater saya faham selok belok yang berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama media hiburan dan penggiat seni di sini hari ini.

Fahmi berkata, kerajaan akan melihat secara keseluruhan bagaimana industri seni di Malaysia terutama mereka yang terlibat akan terus terbela dan pada masa sama mereka bebas untuk melakukan aktiviti seni.

Katanya, beliau yakin penggiat seni tanahair akan dibela oleh kerajaan pada masa ini menerusi dasar-dasar yang akan melibatkan mereka nanti.

Menerusi perjumpaan dengan golongan artis veteran pada majlis itu Fahmi berkata, ramai yang ditemui mengeluh dan mahu agar penantian selama 20 tahun yang mereka lalui dapat diterjemahkan melalui kerajaan yang mendapat mandat rakyat hari ini.

“Saya percaya amalan-amalan sebelum ini untuk menekan, untuk menzalimi sesetengah orang, saya tahu, mungkin ada yang kena senarai hitam dan sebagainya, saya yakin amalan seperti itu tidak akan berlaku lagi selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial mengenai penjawat awam lantikan politik yang mendapat notis pemberhentian kerja selepas kerajaan Persekutuan bertukar kepada Pakatan Harapan berkata, beliau sememangnya bersimpati dengan nasib mereka.

Bagaimanapun, keutamaan perlulah diberikan kepada penjawat awam kontrak terlebih dahulu untuk menjadi penjawat awam tetap seperti guru-guru di sekolah-sekolah.

“Kita memang simpati dengan nasib mereka lebih-lebih lagi nak menjelang Ramadan dan nak raya.

“Dalam masa sama saya percaya pasaran kerja yang luas boleh memberi ruang kepada mereka.

“Bagi saya lebih penting kita iktiraf guru-guru kontrak sebagai pekerja tetap berbanding mereka yang mendapat lantikan politik dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette