KUALA LUMPUR – Lebih 10 kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk trak polis dilihat memasuki kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta malam tadi.
Difahamkan, kenderaan PDRM itu memasuki kediaman itu sekitar kira-kira 10.20 malam selepas Najib menunaikan solat sunat terawih di Masjid Kampung Baru.
Dipercayai kehadiran dan serbuan itu dibuat di lima premis berlainan termasuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya
Tempat lain ialah Pavilion Tower A dan Pavilion Tower B.
Media difahamkan serbuan itu bertujuan untuk mengambil dan merampas segala dokumen berprofil tinggi berhubung siasatan berkaitan 1MDB.
Sebelum serbuan itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional dalam twitter peribadinya telah memuat naik foto beliau bersolat dan berterawih di Majsid Kampung Baru dengan diiringi sepasukan polis sebelum kembali ke rumahnya sekitar 9.50 malam sebelum kehadiran ramai polis bagi tujuan pengambilan dokumen berprofil tinggi itu.
Kenderaan polis yang kemudian beredar dari premis Najib dilaporkan membawa beberapa kotak disyaki mengandungi dokumen penting difahamkan berkaitan 1MDB yang sedang disiasat polis.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum itu telah mengarahkan larangan ke atas Najib dan juga isterinya Rosmah Mansor ke luar negara sejak 10 Mei lalu termasuk beberapa pemimpin dan individu tertinggi lain di bawah kerajaan BN sebelum ini.
Dalam sidang media semalam, Mahathir juga mengakui kerajaan akan menyiasat dan bertindak ke atas Najib dalam kes 1MDB.
Katanya tindakan akan menyusul sekiranya bukti-bukti kukuh ke atas Najib membuktikan dia bersalah.- MalaysiaGazette