Home Utama Hanya beg tangan, pakaian, hadiah diambil dari rumah Najib

Hanya beg tangan, pakaian, hadiah diambil dari rumah Najib

Peguambela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal bercakap kepada media sebaik keluar dari kediaman mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas rumahnya digeledah oleh sepasukan polis berkaitan isu 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 MEI 2018
Peguambela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Harpal Singh Grewal bercakap kepada media sebaik keluar dari kediaman mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas rumahnya digeledah oleh sepasukan polis berkaitan isu 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Hanya beg tangan, pakaian dan barangan berupa hadiah dirampas semasa serbuan pihak polis ke rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta yang berakhir awal pagi ini.

Salah seorang peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal yang sempat ditanya wartawan semasa keluar dari rumah berkata tiada dokumen yang diambil polis sebagai bahan bukti dalam siasatan dipercayai berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Tiada dokumen dirampas, sebaliknya beberapa barangan peribadi antaranya beg tangan, pakaian serta barangan berbentuk hadiah diambil polis sebagai barang bukti dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta,” kata beliau semasa ditemui kira-kira jam 4.30 pagi.

Seorang anggota polis membawa kotak yang dipercayai untuk mengisi dokumen siasatan berkaitan isu 1MDB ketika serbuan di kediaman Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 MEI 2018

Terdahulu, lebih 10 kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk trak polis dilihat memasuki kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta malam tadi.

Difahamkan, kenderaan PDRM itu memasuki kediaman itu  sekitar kira-kira 10.20 malam selepas Najib menunaikan solat sunat terawih di Masjid Kampung Baru.

Dipercayai kehadiran dan serbuan itu dibuat di lima premis berlainan termasuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya

Tempat lain ialah Pavilion Tower A dan Pavilion Tower B.

Media difahamkan serbuan itu bertujuan mengambil dan merampas segala dokumen berprofil tinggi berhubung siasatan berkaitan 1MDB. – MalaysiaGazette