KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service berkata, langkah Kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah negatif kredit jika ia tidak melaksanakan langkah-langkah keseimbangan.
Naib Presiden dan penganalisis kanan Moody’s, Anushka Shah berkata, langkah penyeimbangan selepas penghapusan GST itu perlu bagi membolehkan penilaian kesan sebenar terhadap kedudukan fiskal Malaysia dapat dilakukan.
“Jika tidak, penghapusan GST akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap pendapatan berkaitan minyak dan ini akan mengecilkan asas cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, kerugian hasil tahun ini akan dapat diimbangi oleh beberapa tahap disebabkan lonjakan harga minyak.
Tetapi perkembangan itu bukan bersifat struktur atau kekal untuk menyeimbangi kehilangan hasil GST.
Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan akan menghentikan kutipan GST mulai 1 Jun ini.
Bagaimanapun, sistem itu tidak dimansuhkan lagi, cuma ia dikenakan sifar peratus.
Penghapusan GST merupakan salah satu manifesto Kerajaan Pakatan Harapan yang dijanjikan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Sebelum ini, GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015 mengenakan kadar cukai sebanyak 6 peratus. – MalaysiaGazette