Home Utama Nurul Izzah tidak setuju cara rumah Najib digeledah

Nurul Izzah tidak setuju cara rumah Najib digeledah

Suasana di luar kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diserbu dan digeledah malam tadi dipercayai ada kaitan dengan isu 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2018
Suasana di luar kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diserbu dan digeledah malam tadi dipercayai ada kaitan dengan isu 1MDB di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tidak bersetuju dengan cara Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu serta menggeledah kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak bermula malam tadi.

Dalam laman Twitternya, Nurul Izzah menekankan, sebagai seorang mangsa yang pernah mengalami serbuan polis pada waktu dinihari, beliau sememangnya tidak setuju dengan cara PDRM menyerbu masuk mana-mana rumah sekali pun pada waktu yang tidak bersesuaian.

“Dakwa, siasat dengan bijak. Prinsip keadilan & berhikmah sentiasa terpakai @PDRMsia,” katanya.

Beliau membuat ulasan tersebut dalam retweet kepada laporan berita Sinar Online yang bertajuk Polis Sahkan Geledah Rumah Najib.

Sepasukan anggota polis menyerbu kediaman Najib di Taman Duta malam tadi dalam usaha merampas dokumen berkaitan 1MDB. Sehingga kini pihak polis lagi berada di dalam kediaman tersebut.

Setakat ini barang yang telah dibawa keluar berupa beg tangan, pakaian dan hadiah.

Turut bersetuju dengan kenyataan Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, walaupun ada keperluan untuk menyiasat tetapi tidak perlu memalukan atau melangkaui hak seseorang.

“Selesai siasatan, dakwa. Tidak ada sebab untuk menyiasat sehingga pukul 4 pagi. Saya pernah dibawa pergi pada pukul 2.30 pagi.” katanya di laman Twitternya. – MalaysiaGazette