Home Utama Pertumbuhan ekonomi negara ikut piawaian antarabangsa – Lokman Adam

Pertumbuhan ekonomi negara ikut piawaian antarabangsa – Lokman Adam

Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Adam membidas kenyataan Perdana Menteri berkenaan yang curiga terhadap perangkaan pertumbuhan ekonomi ketika pemerintaha kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan berkata, Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin telah mengesahkan pengiraan pertumbuhan ekonomi negara dilakukan secara profesional dan telus.

“Walaupun Ketua Perangkawan kini bukan lagi berkhidmat di bawah Kerajaan BN, beliau secara jujur menegaskan bahawa angka pertumbuhan ekonomi negara telah disusun berdasarkan rangka kerja ‘International Best Practice‘ (Amalan Terbaik Antarabangsa) dan menepati piawaian antarabangsa.

“Pengiraannya dilakukan secara professional dan dengan intergriti yang sangat tinggi,” katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, penafian Mahathir terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.9 peratus pada tahun lalu, antara yang tertinggi di dunia adalah tidak bertanggungjawab.

Lantaran itu, Lokman menggesa Perdana Menteri menjelaskan kepada rakyat tentang ketidaksahihan tuduhannya tentang bebanan hutang negara yang tinggi.

Tambah beliau, kadar hutang negara, iaitu 50.8 peratus daripada KDNK pada tahun lalu lebih baik berbanding ketika pemerintahan Mahathir pada 1986 dengan kadar hutang 103.4 peratus daripada KDNK.

“Sungguhpun rakyat kini sedar bahawa penipuan Tun selama ini bahawa negara ini menuju ke arah kebankrapan adalah tidak benar, adalah sangat tidak bertanggungjawab sekiranya Tun menafikan KDNK Malaysia tahun lalu 5.9 peratus adalah antara yang tertinggi di dunia,” katanya.

Lokman menasihatkan Mahathir untuk menumpukan usaha kerajaan Pakatan Harapan merealisasikan janji-janji parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini. – MalaysiaGazette