Home Politik Lompat parti demi perjuangan bukan tindakan jijik – Ibrahim Ali

Lompat parti demi perjuangan bukan tindakan jijik – Ibrahim Ali

Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Aktivis politik yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali tidak pernah menganggap tindakannya melompat parti sebagai tidak bermoral.

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang dilakukannya ketika berada dalam Parti Berjasa sekitar 80-an, sebelum menyertai UMNO adalah kerana perjuangan.

“Jangan pandang jijik kepada mana-mana pemimpin politik yang melompat parti. Mereka lompat mungkin kerana perjuangan, bukan disebabkan kepentingan diri.

“Seperti (tindakan) saya, tindakan (lompat parti) bermoral. Malah apa yang saya lakukan ini berbeza dengan (pemimpin) lompat parti untuk cari makan,” katanya dalam program wacana anjuran sebuah media di Shah Alam, hari ini.

Menurut Ibrahim, beliau tidak bersetuju ada yang mengatakan lompat parti itu disebabkan seseorang itu tidak ada prinsip.

Tetapi, katanya, bagaimana jika parti yang mereka dokong itu sudah tenggelam dan rosak, apa yang harus dibuat oleh pemimpin serta ahlinya.

Kata beliau, tindakan melompat parti perlu dilihat dalam dua perspektif iaitu ada yang sengaja lompat parti dan ada lagi satu kumpulan yang lompat parti suka-suka untuk cari makan.

“Malah, saya dipanggil katak. Tetapi, saya tidak berasa janggal. Malah, saya rasa bangga sebab orang dah mula ikut saya. Orang yang perlekeh saya pun akhirnya ikut jejak langkah saya (lompat parti).

“Bila sebut lompat parti mesti terlintas nama saya. Isu lompat parti ni, saya boleh diiktiraf sebagai ikon kerana saya paling awal lompat parti,” katanya.

Ibrahim yang bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu minggu lalu kalah kepada calon Pas, Ahmad Fadhli Shaari dengan majoriti 13,075 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, beliau mendapat 5,373 undi, manakala Ahmad Fadhli (28,080 undi) dan calon Barisan Nasional, Nor Azmawi Ab. Rahman (15,005 undi). – MalaysiaGazette

+ posts