Home Utama Daim tak kisah pendapat agensi penarafan

Daim tak kisah pendapat agensi penarafan

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bercakap kepada media berkenaan isu terkini di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 18 MEI 2018
Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin tidak bimbang sekiranya agensi-agensi penarafan global memberikan penarafan yang lebih rendah kepada Malaysia disebabkan oleh beberapa perubahan fiskal yang dibuat oleh kerajaan baharu.

Jelas bekas Menteri Kewangan itu, sebelum krisis sub-prima yang melanda Amerika Syarikat kira-kira 10 tahun lalu, firma penarafan global turut memberikan penarafan tinggi kepada negara berkenaan.

“Lihatlah bagaimana krisis subprima berlaku, agensi-agensi memberikan penarafan tinggi kepada mereka dan akhirnya mereka tumbang.

“Saya tidak risau mengenai penarafan sebab pada krisis 1997/1998 pun kita tidak pernah kisah mengenainya,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Beberapa agensi penarafan global seperti Fitch’s Rating dan Moody’s mula memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya ketidakstabilan ekonomi negara apabila perubahan fiskal dilakukan oleh kerajaan antaranya dengan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengembalikan semula subsidi.

Daim bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai kedudukan kewangan negara pada ketika ini sebaliknya menyerahkannya kepada Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

Menyentuh mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata ia mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Mengenai projek-projek infrastruktur mega seperti keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Daim berkata, pertemuan dengan dua wakil syarikat akan dilakukan minggu depan dan butiran lanjut akan diumumkan selepas itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, kos sebenar ECRL adalah melebihi RM55 bilion.

“Kos RM55 bilion itu cuma fasa pertama sahaja. Fasa kedua pula adalah RM11 bilion jadi jika dicampur dengan cukai dan sebagainya jumlah keseluruhan adalah sangat-sangat tinggi,” katanya namun enggan mengulas sama ada Majlis Penasihat Negara akan memberi cadangan kepada kerajaan untuk menghentikan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Daim meminta ahli perniagaan Jho Low untuk tampil membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Beliau mendakwa mengetahui lokasi Jho Lo tetapi mengharapkan hartawan tersebut secara sukarela kembali ke Malaysia.

“Saksi utama adalah Jho Low. Saya harap beliau balik ke Malaysia dan membantu kami di dalam siasatan 1MDB,” katanya lagi.

Jho Low tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam 1MDB bagaimanapun dikatakan pernah memberi nasihat kepada syarikat tersebut.- MalaysiaGazette