JAKARTA- Siti Aisyah, warga Indonesia suspek pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam dikatakan seorang wanita yang pendiam.
Detik.com melaporkan, hasil tinjauan akhbar online itu di sekitar tempat Siti Aisyah tinggal di Tambora, Jakarta Barat mendapati, wanita tersebut merupakan seorang janda dan memiliki anak lelaki hasil perkahwinannya dengan anak majikannya sendiri, Gunawan Hashim.
“Tidak menyangka dia seorang pembunuh. Orangnya sangat pendiam tetapi tetap menjawab kalau disapa,” kata salah seorang bekas jiran Siti Aisyah yang bernama Ida.
Siti Aisyah juga pernah bekerja di sebuah kedai kek dan roti yang dimiliki oleh ibu Gunawan, Lian Kiong atau Akiong.
Bagaimanapun, kedai tersebut mempunyai masalah kewangan sehingga menyebabkan Akiong menyarankan pasangan berkenaan untuk berhijrah ke Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan.
“Saya beritahu mereka supaya bekerja di Malaysia, wangnya nanti dikumpulkan supaya boleh dibuat perniagaan apabila mereka kembali kelak,” katanya.
Namun, apa yang tidak mereka jangkakan adalah perantauan tersebut telah menyebabkan perceraian di antara Gunawan dan Siti Aisyah.
Gunawan pulang semula ke Jakarta tanpa ditemani Siti Aisyah yang dikatakan curang semasa berada di Malaysia.
Siti Aisyah pula amat jarang pulang ke Jakarta dan sesekali berbuat demikian untuk bertemu dengan anaknya.
“Saya kurang pasti di mana dia tinggal di Malaysia. Tetapi anak saya, pernah bekerja di restoran, Siti Aisyah pula dikhabarkan bekerja di sebuah kedai,” kata Aikong.
Bagaimanapun, menurut Direktur Perlindungan WNI Kemlu Lalu, M Iqbal, pihak berkuasa tidak mengetahui jenis pekerjaan Siti Aisyah di Malaysia.
Malah wanita itu tidak terdaftar sebagai Tenaga Kerja Indonesia.
Siti Aisyah merupakan suspek kedua pembunuhan Jong Nam dan sedang disiasat polis Malaysia. – MalaysiaGazette