Home Nasional Polis minta butiran lanjut mengenai dakwaan Najib

Polis minta butiran lanjut mengenai dakwaan Najib

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara adil dan profesional.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara adil dan profesional.

KUALA LUMPUR – Polis meminta butiran lanjut mengenai dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui peguamnya hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata penggeledahan serentak di enam premis dilakukan oleh polis secara adil dan profesional.

“Saya meminta butiran lebih lanjut mengenai kejadian yang dikatakan berlaku dan juga mengenal pasti anggota polis yang terlibat.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak profesional dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat kerana melanggar prosedur operasi standard polis, jika dakwaan itu benar,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Amar Singh mengulas dakwaan bahawa ‘coklat dan makanan’ dikatakan diminta oleh anggota polis seperti didakwa oleh portal berita dalam talian hari ini.

Beliau juga menggesa pihak-pihak berkaitan memberi butir-butir mengenai gambar yang bocor, jika ada untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan bagi mengesahkan sama ada gambar yang tular itu adalah dari pihak polis atau sebaliknya kerana terdapat ahli keluarga dan kawan-kawan yang hadir semasa penggeledahan itu.

Beliau berkata anggota polis di tempat kejadian dilarang sama sekali daripada membawa telefon bimbit semasa menjalankan penggeledahan.

“Gambar dan rakaman video di tempat kejadian hanya akan diambil oleh jurugambar rasmi kami,” kata beliau.

Terdahulu hari ini, peguam Najib Datuk Harpal Singh Grewal, dalam kenyataannya, mendakwa bahawa anggota polis yang bertugas bertindak secara sambil lewa dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa bahawa anggota-anggota polis makan coklat dan makanan dalam peti sejuk dan juga meminta supaya makanan disediakan untuk mereka.

— BERNAMA