Home Utama Pas mahu PM teruskan projek ECRL

Pas mahu PM teruskan projek ECRL

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas berharap Perdana Menteri meneruskan projek-projek yang dirancang dan diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini terutama Projek Rangkaian Jalan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ia termasuk projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu dan Lebuhraya Jajaran Tengah (Central Spine Road)..

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek ECRL tidak harus dibatalkan tetapi kos perjanjiannya dirunding semula kos dan perjanjiannya agar menepati piawaian kewangan.

Katanya, dengan projek sedia ada yang sedang berjalan dan yang telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), harus diteruskan sehingga selesai untuk faedah rakyat.

Tuan Ibrahim juga menyambut baik kesediaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meneruskan pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Kelantan, selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Dengan kesediaan Dr. Mahathir itu, Pas berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu tidak lagi diikuti.

“Sebagai parti yang beramal dengan sistem demokrasi dan menghormati konsep federalisme, Pas berlapang dada walaupun pernah perit dihukum dengan penarikan bayaran royalti dahulu.

“Kesediaan terbaharu daripada Dr. Mahathir itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas PRU14,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas juga menaruh harapan agar semua peruntukan per kapita lain yang layak diterima oleh setiap negeri dapat disalurkan tanpa apa-apa sekatan, sebagimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, amalan menghormati konsep demokrasi dan federalisme amat penting bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.

“Pilihan rakyat harus dihormati. Penyaluran semua peruntukan itu harus mengikut sistem dan undang-undang sedia ada iaitu terus kepada kerajaan negeri masing-masing,dan tidak lagi melalui pihak ketiga yang dibentuk khusus seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau pihak lain di luar pentadbiran negeri seperti di zaman BN.

“Kita yakin sekiranya semua berpegang kepada konsep federalisme dan saling menghormati hak masing-masing sebagaimana yang diperuntukkan yang jelas kehilangan di zaman BN, maka Malaysia akan mampu terus membangun secara progresif dalam satu entiti tanpa ada mana-mana negeri yang ketinggalan,” katanya. – MalaysiaGazette